Hadi senada Tun M, kerajaan perlu masyarakat majmuk

Abdul Hadi - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Abdul Hadi - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi reaksi senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan penubuhan kerajaan berasaskan parti Melayu dan Islam semata-mata.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, senarai ahli Kabinet perlu ada masyarakat majmuk.

Menurutnya, kerajaan hendak dibentuk harus mempunyai ahli daripada pelbagai bangsa kerana ia mencerminkan kepelbagaian bangsa dan budaya.

"Respons saya ialah sebarang kerajaan mesti mewakili masyarakat majmuk dan majoriti dominasi adalah Melayu Islam," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian bagi mengulas pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Dr Mahathir untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan Pas dengan mengambil kira perkembangan terbaru beliau mengenai Kongres Maruah Melayu (KMM) minggu lalu.

Dr Mahathir semalam berkata, cadangan untuk menubuhkan kerajaan baharu berteraskan kepada agama dan Islam tidak sesuai kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama dan semua pihak harus terima hakikat itu.

"Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baharu. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum dan pihak kerajaan daripada kita merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum," katanya.

Mohamad dalam satu kenyataan Isnin lalu berkata, KMM minggu lalu mengesahkan segala dakwaan UMNO dan Pas bahawa kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu serta Pribumi lain sedang terhakis di bawah pentadbiran PH.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu turut berkata, kerajaan baharu itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama Barisan Nasional, Pas serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.