Tak perlu parti baharu, kata Mat Sabu

Mohamad - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Mohamad - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan mengajak Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu bersama UMNO-Pas tidak perlu kerana pakatan itu masih kukuh dan utuh.

Presiden Parti Amanah Malaysia (Amanah), Mohamad Sabu berkata, keputusan besar sebegitu tidak boleh dibuat hanya dengan seorang individu.

Menurutnya, sebarang perbincangan mengenai hala tuju PH mesti dibincang melalui kepimpinan pakatan itu.

"Kita ada PH, sebarang perbincangan (perlu) melalui PH.

"Bukan seorang individu yang boleh buat keputusan. (Lagipun) Sekarang PH kukuh dan utuh, " katanya kepada media sewaktu ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan mempelawa Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah kerajaan baru sekiranya perdana menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata, kerajaan baharu itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama BN, Pas serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Semalam Dr Mahathir menegaskan beliau tidak berminat untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama UMNO-Pas atas alasan memartabatkan kaum Melayu dan Islam.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan inisiatif menubuhkan kerajaan berteraskan kaum Melayu dan agama Islam sukar dilakukan kerana kedudukan negara berbilang kaum.