PVATTBM minta naikkan pemberian one-off

Ismail bersama ahli-ahli veteran di pejabat PVATTBM di sini hari ini.
Ismail bersama ahli-ahli veteran di pejabat PVATTBM di sini hari ini.
A
A
A

KANGAR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) meminta kerajaan menaikkan jumlah pemberian Bantuan Harapan Negara (BHN) secara 'one-off' (sekali bayar) kepada ahli-ahlinya kepada RM1,500 berbanding RM500 pada tahun sebelumnya.

Presidennya, Ismail Abidin berkata, BHN yang diberikan kerajaan setiap tahun itu dilihat mampu memberi manfaat kepada veteran tentera memandangkan kebanyakan daripada mereka melepasi umur 60 tahun dan tidak mampu melakukan pekerjaan.

Menurutnya, khidmat dan pengorbanan mereka kepada negara juga perlu dikenang melalui pertambahan bajet, apatah lagi dengan kemampuan dan tenaga veteran ketika ini, kebanyakannya bergantung kepada bantuan bagi menyara keluarga.

"Ada dalam kalangan veteran yang mengalami kecacatan kekal seperti putus kaki ketika berkhidmat menyebabkan mereka terpaksa menjadi gelandangan bagi meneruskan kehidupan," katanya ketika ditemui di pejabat PVATTBM hari ini.

Sebelum ini katanya, pihaknya menerima BHN sebanyak RM1,000 ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi pemberian berkenaan semakin berkurangan kepada RM500, malah tidak semua ahlinya seramai 250,000 menerima manfaat daripada pemberian tersebut.

"Dulu, kerajaan lama sediakan bantuan baik pulih rumah kepada mereka yang layak tetapi kini tidak lagi sedangkan ramai dalam kalangan veteran menumpang di rumah saudara," katanya.

Terdahulu, beliau turut memohon kerajaan meningkatkan jumlah pemberian bantuan sara hidup bulanan daripada RM300 kepada RM500 sebagaimana disiarkan media tempatan sebelum ini.

Mengulas perkara itu katanya, dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, segelintir mereka ada yang tidak menerima bantuan sebanyak RM300 itu selepas proses kemas kini dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap bantuan itu diteruskan dengan kadar segera memandangkan ada dalam kalangan mereka ini sangat mengharapkan bantuan itu," katanya.