Gagal bela pekerja Foodpanda, Syed Saddiq disaran letak jawatan

A
A

1. Gagal bela pekerja Foodpanda, Syed Saddiq disaran letak jawatan

Sekretariat Gabungan Anak Muda Malaysia menuntut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan jika gagal membela nasib pekerja Foodpanda.

Pengerusinya, Muhammad Faizal Sufar meminta pertimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengangkat Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menggantikan jawatan itu.

2. Ahli PKR perlu terbuka terima bekas pemimpin pembangkang

Semua ahli PKR harus bersifat terbuka menerima kemasukan tokoh yang dapat memberi manfaat kepada parti, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Semalam, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Mustapha Sakmud dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan itu disuarakan susulan permohonan Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk sertai PKR.

3. PRK Tanjung Piai: MB nafi pertikai lantikan Pengarah Jentera PH

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menafikan timbul pertikaian pelantikannya sebagai Pengarah Jentera Pakatan Harapan bagi PRK Tanjung Piai.

Beliau percaya amanah itu diberi atas hubungan baiknya dengan pengerusi komponen PH di negeri ini.

Jumaat lalu, Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengarah Jentera PH bagi menghadapi PRK Tanjung Piai yang akan diadakan 16 November depan.

4. Program Subsidi Petrol beri impak kenaikan barang

Pas menggesa kerajaan mengkaji semula Program Subsidi Petrol kerana dilihat tidak menyelesaikan masalah dan dibimbangi akan terus membebankan rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, subsidi berkenaan tidak membantu seluruh rakyat menikmati harga petrol RON95 yang munasabah.

Menurutnya, pelaksanaan subsidi petrol perlu mengambil kira kepentingan pengguna lain terutama dalam kalangan M40, rakyat Sabah dan Sarawak.

5. Harimau Malaya usah gentar!

Harimau Malaya harus mempamerkan rentak terpuji menjelang pertemuan menentang Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, Harimau Malaya perlu melupakan empat rekod pertemuan terakhir termasuk tiga aksi pada Piala AFF Suzuki 2018 ketika menentang skuad Naga Emas berkenaan, sebaliknya tampil dengan karakter semangat juang yang tinggi.