Diskaun insurans untuk orang yang baik hati

LIDAH PENGARANG

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan pemberian diskaun premium insurans kenderaan kepada pemandu berhemah mulai Januari tahun hadapan adalah satu langkah yang bijak.

Seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pemandu yang tidak pernah memiliki rekod kesalahan jalan raya akan diberikan ganjaran seperti pengurangan premium insurans atau tambahan diskaun ke atas NCD yang tidak ada tuntutan kemalangan.

Menurutnya, perbincangan bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) juga dilakukan dan turut bersetuju langkah tersebut dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.

Pendekatan seperti itu lebih bermakna bagi memberi fokus kepada pemandu berhemah di Malaysia yang jumlahnya jauh lebih ramai daripada pemandu haprak yang sering melakukan onar di jalan raya.

Secara tidak langsung, langkah itu dapat menggalakkan pemandu untuk menjadi lebih sopan di jalan raya dan sentiasa mematuhi undang-undang.

Kementerian lain juga perlu mencari pendekatan untuk menggalakkan orang ramai berlumba-lumba menjadi baik dan berkempen kepada orang lain untuk melakukan kebaikan.

Misalnya, Kementerian Kesihatan mungkin boleh memikirkan satu kaedah untuk memberi ganjaran sesuai kepada individu yang mengamalkan cara hidup sihat seperti tidak merokok, tidak minum arak dan sebagainya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula mungkin boleh memikirkan kaedah bagaimana untuk memberi ganjaran kepada syarikat, pasar raya atau kedai yang dapat menawarkan harga barang paling rendah dengan kualiti terbaik kepada pembeli.

Artikel Berkaitan:

Atau mungkin pemilik stesen minyak yang dapat memberikan ganjaran paling banyak kepada pengguna akan mendapat ganjaran lain daripada kerajaan.

Contoh yang diberikan hanya satu cadangan spontan. Pegawai berkaliber ataupun kumpulan tukang fikir yang berada dalam kementerian sudah pasti mempunyai idea dan pendekatan lebih hebat bagaimana untuk menghargai rakyat Malaysia yang baik hati. Ia lebih baik daripada tumpuan untuk mengenakan tindakan ke atas mereka yang bersalah.