Kisah tahi kucing dan pemiliknya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RIUH rendah ahli kumpulan WhatsApp Merak Jalanan apabila berbicara soal tahi kucing.

Ia bermula apabila seorang rakan memuat naik gambar rumput ‘karpet’ di halaman rumahnya yang dipenuhi tahi kucing.

Daripada gambar itu dapat disimpulkan kawasan itu telah menjadi tandas awam kepada kucing untuk melepaskan hajat.

Kemudian seorang lagi rakan memuat naik gambar kawasan 'porch' rumahnya yang turut menjadi lokasi kucing melepaskan najis.

Perbincangan makin rancak apabila seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Hameed memuat naik gambar pengalas kaki rumahnya menjadi tempat kucing membuang tahi.

Malah kasut miliknya turut dijadikan tempat kucing kencing. Situasi itu menyebabkan Hameed naik angin. Maka rakan-rakan yang lain memberikan pandangan dan petua masing-masing.

Ada yang mencadangkan supaya diletakkan botol berisi air berwarna-warni, tuang minyak tanah, cabut misai kucing, letak patung harimau dan macam-macam idea lagi.

Namun, menurut Hameed, dia sudah mencuba pelbagai petua tetapi semuanya tidak berkesan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia pernah meletakkan 'cat repellent' yang dibeli di Daiso. Namun pernah suatu ketika kucing itu berak di atas produk itu yang diletakkan di dalam pasu bunga.

Menurut Hameed, dia tahu kucing mana yang terlibat dan siapa pemilik kucing itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, sikap pemilik kucing yang tidak pandai menjaga haiwan peliharaan cukup mengecewakan kerana membenarkan kucing-kucing tersebut membuang najis di rumah jiran.

Bagi menyelesaikan isu itu, dia mencadangkan kepada pengerusi persatuan penduduk supaya pemilik kucing terlibat dikenakan hukuman setimpal.

Namun sehingga kini jenis hukuman tidak dapat diputuskan kerana persatuan penduduk masih belum mencapai kata sepakat. Anda ada cadangan?