24,000 pelancong kunjungi Arab Saudi dalam masa 10 hari

Arab Saudi membuka pintu kepada pelancong bertujuan untuk mempelbagaikan ekonominya. - Foto AFP
Arab Saudi membuka pintu kepada pelancong bertujuan untuk mempelbagaikan ekonominya. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi dilaporkan menerima kehadiran 24,000 pelancong dalam masa 10 hari selepas mengeluarkan visa pelancongan untuk kali pertama.

Pada 27 September lalu, kerajaan negara itu mengumumkan akan mula menawarkan visa pelancong sekali gus membuka pintunya kepada pengunjung sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan ekonomi selain industri minyak.

"Dalam tempoh 10 hari, kira-kira 24,000 pelancong asing memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong," lapor saluran televisyen negara itu memetik Kementerian Luar.

Sebelum ini, Arab Saudi hanya mengeluarkan visa untuk jemaah haji dan umrah, pekerja asing dan baru-baru ini pengunjung acara sukan atau kebudayaan.

Ahad lalu, pihak berkuasa dilaporkan turut mengumumkan akan membenarkan pasangan pelancong asing yang tidak berkahwin menyewa bilik hotel bersama.

Kini warganegara dari 49 negara termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, beberapa negara Eropah, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, China dan Kazakhstan layak memohon e-visa atau visa semasa ketibaan.

Memacu sektor pelancongan merupakan salah satu inisiatif Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bagi merealisasikan Wawasan 2030 yang bakal mempersiapkan negara itu dalam menghadapi era pasca minyak. - AFP

Artikel Berkaitan: