Apabila sakit itu ubat terbaik

A
A
A

Dua tiga hari lalu, saya peroleh kembali sebuah video yang tular mengenai reaksi beberapa orang dewasa bila hendak disuntik. Saya pernah tonton video itu dan saya tonton lagi melihat kerenah orang dewasa yang takutkan jarum suntikan.

Ada yang menangis dan meraung bagai kanak-kanak. Yang kelakarnya, ada dalam kalangan orang dewasa yang ingin disuntik doktor adalah seorang askar.

Apakah seorang askar yang terlatih tidak takutkan peluru boleh takutkan sebatang jarum yang halus?

Sekali pandang, video itu hanyalah sebuah video yang kelakar. Namun bila direnungi, jarum yang menyakitkan itu sebenarnya menyalurkan ubat yang bakal memulihkan sakit.

Iya, cara memulihkan sakit adalah dengan memberi kesakitan. Begitu juga sebuah pembedahan yang menyakitkan dalam proses perubatan itu adalah untuk memulihkan sakit.

Maknanya, menerima kesakitan itu adalah yang terbaik untuk kita!

Dari masa ke masa kita sentiasa berfikir hanya yang baik itu menghasilkan yang baik.

Yang buruk akan berakhir dengan keburukan. Padahal ia boleh terjadi sebaliknya. Umpama gula yang manis itu boleh berakhir dengan penyakit diabetis.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya ubat yang pahit-pahit itulah yang dapat menurunkan penyakit darah tinggi, misalnya.

Namun, lazimnya kita tidak mahu langsung berasa kesakitan kerana hanya melihat sakit sebagai sesuatu yang buruk. Sakit itu mengehadkan aktiviti untuk bergerak dan berfikir.

Malah, ia melumpuhkan apabila sakit membuat kita hanya tergolek berbaring. Makan mula berpantang. Kondisi inilah yang membuat kita tidak mahu langsung melalui proses pemulihan.

Sedangkan apabila kita pulih, kita boleh buat apa sahaja yang tidak boleh kita lakukan ketika sakit.

Dalam hidup, kita akan lalui sinar dan gerhana dalam kehidupan. Yang bahagia akan berubah menjadi derita. Yang disukai akan menjadi kebencian. Yang dikasihi akan jadi yang dicemburui.

Semua yang tidak kita gemari itulah yang menyakitkan. Tetapi berapa ramai di antara kita yang ingat, apa sahaja yang buruk itu pernah dilalui dan menjelma menjadi baik semula?

Malah, ia menjadi lebih baik kerana kita punyai pengalaman melalui kesakitan yang lebih kurang sama sebelum ini.

Seolah-olah apabila kita pernah berdepan dengan demam, kita dengan mudah dapat melaluinya dengan tenang kerana memahami tempoh penyakit itu tidak selama mana. Makan ubat, berehat dan insya-ALLAH penyakit akan pergi dan kita sihat kembali.

Dalam konteks yang lebih sofistikated, kesakitan seperti perpisahan, kehilangan, kemalangan dan apa jua tragedi adalah kesakitan yang sebenarnya ubat yang terbaik buat kita.

Walaupun kita minta selisih tidak mahu mengalaminya, kita kena terima dan lalui sebagaimana orang lain menghadapinya.

Dalam konteks bangsa, tidak boleh tidak, kini kita sedang melalui fasa kesakitan dan penuh kebimbangan.

Ada sahaja perkara yang menjadikan kita bimbang. Ia bukan setakat isu-isu yang berkisar dari sudut politik, malah ia melibatkan persoalan-persoalan yang menyakitkan mengenai hal ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan agama.

Namun kesakitan itu adalah ubat yang terbaik. Kita lebih peka dengan bangsa kita secara jemaah. Kini, apa yang terjadi kepada kelompok di mana-mana mudah dirasai dan mendapat respons yang semerta daripada seluruh warga bangsa.

Kita tidak fikir secara sendiri-sendiri lagi. Sakit kita telah menemui ubat iaitu dengan bersatu mengukuhkan ukhuwah.

Dari satu segi, ia mengakibatkan kebimbangan pula kepada kaum-kaum yang lain. Ada yang melihat ia menimbulkan kesakitan perasaan mereka.

Tetapi, pada mana-mana gelegak perubahan, ia akan mencari keseimbangan. Seperti kerak bumi yang beranjak dan memuntahkan lahar, setelah itu ia stabil kembali kerana memperoleh kepadatan bumi.

Secara hukumnya, kesakitan yang dialami oleh bangsa Melayu, sama ada ia benar mahupun dilihat sebagai suatu persepsi akan melalui proses kestabilan.

Kesakitan buat bangsa Melayu akan menempuh tempoh pemulihan. Ia akan sejuk dan dingin kembali asalkan tiada elemen yang menuang minyak dan menyalakan api.

Sesungguhnya ia adalah proses yang semula jadi – berasa sakit sebagai jalan terbaik untuk pulih dan segar kembali.