X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan perlekeh resolusi Kongres Maruah Melayu

Kongres Maruah Melayu yang berlangsung pada Ahad lalu. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

ALOR SETAR - Semua pihak harus mengambil serius dan tidak memperlekehkan resolusi yang dibentangkan oleh kluster ekonomi, politik, pendidikan, budaya dan agama pada Kongres Maruah Melayu, Ahad lalu.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, resolusi berkenaan dicerakinkan oleh ahli akademik dan tokoh masyarakat Melayu selain mewakili akar umbi orang Melayu iaitu majoriti penduduk di negara ini.

Menurutnya, antara resolusi menarik yang perlu diberi perhatian ialah dari wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurul Fatin Aqilah Rahim.

“Selain pembiayaan pendidikan, teras utama resolusi kluster pendidikan adalah pengenalan sekolah satu aliran melalui pemansuhan sekolah vernakular secara beransur-ansur dalam tempoh enam tahun,” katanya.

Dr Kamarul Zaman berkata, resolusi ini antara yang terbaik kerana menjelaskan tuntutan spesifik selain alasan munasabah.

“Isu sekolah vernakular tidak dapat menyatukan kaum untuk membentuk perpaduan kerana di setiap sekolah contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), menggunakan bahasa pengantar berbeza mengikut bahasa ibunda.

"Disebabkan itu, pemansuhan sekolah vernakular secara beransur-ansur amat bertepatan kerana pendidikan adalah kunci utama penyatuan dan perpaduan melalui penggunaan satu bahasa pengantar dan kurikulum yang seragam di semua sekolah,” katanya.

Menurutnya, resolusi ini juga menjelaskan tindakan yang membolehkan tuntutan tersebut dilaksanakan.

“Berdasarkan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 (550), menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggara sekolah-sekolah ini. Apa yang perlu dibuat ialah mencadangkan bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu digunakan di semua jenis sekolah kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (550) secara berperingkat mulai 2021,” katanya.

Tambahnya, bahasa Melayu akan mula digunakan di sekolah terbabit bermula 2021 untuk murid Tahun Satu, seterusnya kepada pelajar Tahun Dua (2022), sehingga 2026 di mana semua sekolah vernakular bertukar status kepada sekolah kebangsaan satu aliran.

“Buku teks juga perlu menggunakan buku yang sama dalam bahasa Melayu mengikut Seksyen 6 dan 26 Akta Pendidikan 1996 (550),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongres Maruah Melayu bukan bermotif politik, perkauman: Dr Mahathir

Dr Kamarul Zaman berkata, resolusi itu juga kukuh kerana ia adalah rumusan daripada Seminar Pendidikan Anak Watan 2019, di UPSI, pada 22 September lalu.

“Resolusi ini turut didokong Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran, yang tegaskan resolusi itu bukan ‘syok sendiri’ sebaliknya berasaskan sumber perundangan ulung negara,” katanya.

Menurutnya, ia juga berpandukan kepada Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan serta Rukun Negara.

“Beliau mahu resolusi UPSI itu dikemukakan kepada kerajaan untuk menjadikan pendidikan sebagai asas agenda perpaduan kaum. Resolusi ini terhasil menerusi kajian, perbincangan meja bulat, saranan dan pandangan ramai pakar dalam bidang pendidikan yang berpengalaman,” katanya.

Dr Kamarul Zaman berkata, pemansuhan sekolah vernakular sering disuarakan tokoh akademik, perundangan serta tokoh politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang.

“Antara tokoh termasuk pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim yang menyatakan cadangan ini baik dan menyamai cadangan Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes (1950),” katanya.

Menurutnya, tokoh perundangan perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi pernah menyatakan sekolah vernakular tidak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan sekolah vernakular penghalang kepada perpaduan nasional,” katanya.

Tambahnya, disebabkan resolusi ini mendapat sokongan ramai, ia wajar dibengkelkan secara ilmiah selain dibincangkan baik dan buruknya pelaksanaan dasar itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!