X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga beradik tinggal di bangsal mula ke sekolah

Imran dan empat anaknya berada di atas buaian di hadapan bangsal mereka di tepi pantai. (Kanan: Siti Nur Shafikah yang kembali memakai uniform sekolah berasa sangat seronok dan teruja memulakan sesi persekolahannya sejak Khamis lalu.)
A
A

KOTA BHARU – Tiga beradik yang tinggal bersama keluarga dalam keadaan serba kekurangan di sebuah bangsal di Kampung Pantai Mek Mas di sini sudah memulakan sesi persekolahan baharu Khamis lalu.

Siti Nur Shafikah Imran, 16, menyambung persekolahan di Tingkatan 4 dan adiknya, Siti Nurhidayah, 13, Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedai Buloh manakala adik mereka Mohd Amirul, 8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Che Latif dalam Darjah Dua.

Persekolahan mereka terhenti sejak setahun lalu akibat kesempitan hidup yang dialami ibu bapa Imran Amin, 59, Zainun Yaakub, 39, serta dua lagi adik mereka, Siti Nurhasanah, 5, dan Siti Nurul Fatihah Solehah, 2.

Imran berkata, selepas kisah mereka disiarkan media keluarganya dikunjungi kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan yang menguruskan segala dokumen bagi mendaftar masuk tiga anaknya di dua sekolah berkenaan.

Katanya, kesemua yuran persekolahan dua anak perempuan dan seorang anak lelakinya itu turut ditanggung sepenuhnya oleh pihak JPN selain pemberian sepasang uniform lengkap serta kemudahan peralatan pembelajaran.

“Mereka juga dimasukkan dalam Rancangan Makanan Tambahan pada waktu pagi dan bersarapan di sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan pada setiap hari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurut pengamal perubatan Islam itu mereka sekeluarga masih tinggal di bangsal itu.

Katanya, bantuan tunai daripada orang ramai mula diterima dan ada yang menyatakan hasrat mahu membantunya membina rumah namun terpaksa ditangguhkan kerana tidak memiliki tanah.

“Saya dapat sumbangan wang tunai daripada orang ramai tetapi belum cukup untuk membeli tanah. Bagaimanapun saya tidak mengharapkan ihsan orang ramai sepenuhnya. Insyallah doakan saya untuk mengusahakan perniagaan cendol secara kecil-kecilan bagi menampung hidup kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Siti Nur Shafikah berkata, dia yang mengalami penyakit tulang belakang kini dalam fasa menyesuaikan diri dalam kalangan rakan baharu berikutan sudah lebih setahun meninggalkan alam persekolahan.

“Saya dan adik-adik sangat gembira dapat kembali bersekolah. Setiap seorang daripada kami membawa wang saku RM3 setiap hari bagi perbelanjaan makan di sekolah. Makan pagi boleh makan di sekolah, manakala RM3 lagi boleh digunakan pada waktu rehat.

“Ayah menghantar kami ke sekolah. Kadang-kala balik berjalan kaki sejauh lima kilometer jika motosikal rosak. Tapi saya seronok dan mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang Saintis,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini memaparkan kisah tujuh beranak ini yang terpaksa menumpang teduh di sebuah bangsal yang dibina bersama penduduk kampung akibat tidak mampu membayar sewa rumah kerana kesempitan hidup.

Imran sebagai ketua keluarga berpendapatan tidak menentu sekitar RM1,000 sebulan dan membawa keluarganya berpindah dari Pasir Puteh ke Kampung Baru Pantai Mek Mas dan tinggal di bangsal di kawasan berhampiran pantai tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus