X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai: MB nafi pelantikan Pengarah Jentera PH dipertikai

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman (kiri) menerangkan perkembangan pembinaan di Kompleks Sukan Johor kepada Dr Sahruddin (tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani (kanan) ketika lawatan di Mount Austin, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menafikan dakwaan timbul pertikaian berhubung pelantikannya sebagai Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Beliau percaya amanah tersebut diberi atas hubungan baiknya dengan pengerusi-pengerusi komponen PH di negeri ini.

"Saya rasa saya dilantik kerana hubungan baik saya dengan kesemua pengerusi (komponen PH) negeri, jadi saya rasa insya-ALLAH tiada isu. Amanah telah diberi, waktunya untuk bekerja.

"Kita sudah menggerakkan jentera di Tanjung Piai dan setakat ini sudah tertumpu kepada semua kawasan dengan 27 pusat daerah mengundi (PDM) yang ada," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di venue temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, hari ini.

Jumaat lalu, Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengarah Jentera PH bagi menghadapi PRK Tanjung Piai yang akan diadakan 16 November depan.

Pelantikan beliau dipertikai oleh pihak- pihak tertentu di media sosial susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu bukan Pengerusi Bersatu Johor selain dilihat masih baru dalam politik.

Dalam perkembangan lain, Dr Sahruddin turut melahirkan keyakinan PH mempertahankan kerusi Parlimen itu meskipun keputusan kajian Merdeka Centre menunjukkan populariti PH merudum kepada 35 peratus berbanding kajian tahun lepas.

"Saya ambil maklum (kajian) namun kita kena bekerja keras untuk memastikan kemenangan di Tanjung Piai. Saya rasa insya-ALLAH peluang untuk PH (menang) ada kerana hubungan baik antara saya, kemudian pengerusi-pengerusi (PH) negeri, antara masyarakat.

"Kita juga telah mencapai 10 janji dalam manifesto kita. Kita akan cuba semampu dan sebaiknya untuk memastikan kemenangan di Tanjung Piai," katanya.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin akui berpuas hati dengan perkembangan kesemua projek pembinaan venue Sukma yang dijangka selesai April depan.

"Semua projek menunjukkan berjalan dengan baik. Insya- ALLAH diharapkan tiada lagi isu-isu yang berbangkit.

"Setakat ini saya sangat berpuas hati, tiada projek yang terlambat. Malahan ada yang lebih cepat daripada tarikh jangkaan siap. Paling lewat kesemua projek ini siap April depan dan paling awal Februari ini," katanya.

Difahamkan Johor menaiktaraf dan membina 11 venue baharu bagi menyambut temasya Sukma tahun depan sebagai tuan rumah termasuk di Muar, Kota Tinggi dan Pagoh.

Antaranya Kompleks Sukan Johor, Velodrom di Youth Hub, Dataran MBIP, Dataran Bola Sepak di Educity, Arena Larkin, Pusat Pelayaran di Bandar Penawar, Arena Emas dan Stadium Hoki di Taman Daya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!