SSM perkenal format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan memperkenalkan format baharu nombor pendaftaran bagi entiti perniagaan yang berdaftar dengan agensi itu bermula Jumaat ini.

SSM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan format baharu itu diperkenalkan bagi menggantikan nombor pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang sedia ada.

"Ia selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menggunakan satu format pendaftaran tunggal bagi entiti perniagaan di Malaysia di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012 hingga 2020.

"Salah satu program di bawah pelan induk ini adalah Program Berimpak Tinggi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME HIP 1) yang diterajui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)," jelasnya.

Menurut kenyataan itu, selain SSM, pelaksanaan format baharu nombor pendaftaran itu turut melibatkan badan pendaftar lain yang mengeluarkan nombor pendaftaran entiti perniagaan.

"Format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan SSM ini mengandungi 12 digit dan pelaksanaannya dijangka memudahkan pengurusan data dan pembangunan sistem kerana ia merupakan satu format nombor yang menepati piawaian bagi kesemua jenis entiti perniagaan," menurutnya.

Bagi syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan pada dan selepas pelaksanaan format baharu, SSM akan memperuntukkan dua format nombor iaitu format lama dan baharu seperti contoh berikut:

Nama: AMS Setia Jaya Sdn. Bhd.

Artikel Berkaitan:

No. Pendaftaran: 201901000005 (1312525-A)

Format nombor baharu itu mengandungi empat nombor pertama menunjukkan tahun entiti perniagaan tersebut diperbadankan, dua nombor berikutnya menunjukkan jenis entiti perniagaan dan enam nombor berikutnya adalah turutan nombor entiti perniagaan tersebut, menurut kenyataan itu.

SSM menjelaskan, jenis entiti perniagaan dikelaskan dengan nombor 01 untuk syarikat tempatan, 02 (syarikat asing), 03 (perniagaan), 04 (perkongsian liabiliti terhad tempatan), 05 (perkongsian liabiliti terhad asing) dan 06 (perkongsian liabiliti terhad amalan profesional).

Dalam kenyataan itu, SSM turut memaklumkan bahawa nombor pendaftaran sedia ada masih boleh digunakan bersama dengan format baharu nombor untuk satu tempoh masa yang akan dimaklumkan kemudian.

"Pemilik perniagaan juga tidak perlu membuat perubahan pada surat rasmi, invois, papan tanda dan cetakan lain-lain dokumen sehingga SSM memaklumkan tarikh penguatkuasaan penggunaan satu format nombor sahaja.

"Namun, penggunaan format baharu nombor pendaftaran adalah digalakkan," menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my. - Bernama