Pembunuh bersiri paling prolifik AS

Samuel Little, pembunuh berisi paling prolifik dalam sejarah AS. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki berusia 79 tahun dilaporkan telah membunuh sekurang-kurangnya 50 orang sekali gus menjadikannya pembunuh bersiri paling prolifik dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Menurut Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Samuel Little mengaku melakukan 93 pembunuhan antara tahun 1970 hingga tahun 2005 dan kebanyakan mangsanya adalah wanita.

Meskipun pihak penyiasat hanya mengesahkan penglibatannya dalam 50 kes namun mereka percaya semua pengakuan Little boleh dipercayai.

FBI turut menubuhkan laman web menunjukkan rakaman Little mengimbas kembali pembunuhan yang dilakukannya serta wajah mangsa yang dilukis sendiri oleh suspek.

Lukisan yang dikeluarkan oleh FBI menunjukkan 16 wajah mangsa wanita yang dilukis sendiri oleh Samuel Little. - Foto AFP
Lukisan yang dikeluarkan oleh FBI menunjukkan 16 wajah mangsa wanita yang dilukis sendiri oleh Samuel Little. - Foto AFP

"Kematian kebanyakan mangsanya bagaimanapun sering didapati berpunca akibat terlebih dos, kemalangan atau punca yang tidak dapat dipastikan. Beberapa mayat juga tidak pernah ditemukan," tulis FBI di laman web terbabit.

Little dipenjarakan seumur hidup pada tahun 2014 selepas disabitkan bersalah terhadap tiga kes pembunuhan.

"Untuk tempoh yang lama, Samuel Little percaya dia tidak akan ditangkap.

"Meskipun dia telah disumbat dalam penjara, FBI percaya adalah penting untuk menuntut keadilan bagi setiap mangsa untuk menutup seberapa banyak kes yang boleh," kata penganalisis jenayah FBI, Christie Palazzolo.

Bekas peninju yang juga dikenali sebagai Samuel McDowell itu ditahan kali pertama pada tahun 2012 di sebuah pusat perlindungan gelandangan di Kentucky dan diekstradisi ke California bagi berdepan dakwaan berkaitan dadah.

Ketika di sana, bukti DNA mengaitkan Little dengan tiga kes yang membawa kepada sabitannya pada tahun 2014 berhubung pembunuhan tiga wanita di Los Angeles antara tahun 1987 dan 1989.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa dipukul dan dicekik. - AFP