Malaysia ketengah isu jerebu rentas sempadan ke AMME

Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan mengetengahkan isu jerebu rentas sempadan pada Mesyuarat ke-15 Menteri-Menteri Asean Mengenai Alam Sekitar (AMME) dan mesyuarat berkaitan di Kemboja yang bermula semalam hingga Khamis ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, timbalannya Isnaraissah Munirah Majilis mewakili beliau bagi membincangkan masalah itu dan lain-lain isu alam sekitar yang berkaitan, termasuk sains dan teknologi kerana beliau mempunyai acara lain iaitu Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM) bermula esok.

“Di peringkat Asean memang ada perbincangan mengenai isu jerebu tetapi kali ini YB Munirah akan membangkitkan lagi isu ini dan kita akan bincang pelbagai isu terutamanya yang berkaitan kerjasama antara negara-negara ASEAN,” katanya selepas merasmikan persidangan ‘Sustainable Brands Kuala Lumpur 2019’ di sini hari ini.

Mesyuarat dwitahunan itu dijangka akan menerima tiga dokumen utama - dokumen kenyataan bersama Asean mengenai Perubahan Iklim, draf Pelan Strategik terhadap Alam Sekitar dan satu permintaan bagi menetapkan lima taman negara di Myanmar, Thailand, dan Vietnam sebagai Taman Warisan.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat syarikat Malaysia yang terlibat dalam pembakaran hutan pertanian di Indonesia, Bee Yin berkata, Indonesia perlu siasat dan sesiapa yang telah melanggar undang-undang perlu diambil tindakan terhadap mereka.

Semalam dilaporkan kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan terhadap syarikat perladangan milik Malaysia di Indonesia jika benar mereka terlibat dalam pembakaran terbuka yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: