Tiga sekawan samun jurutera ditahan

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Tiga sekawan yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun seorang jurutera elektrik hingga mendatangkan kecederaan pada 27 September lalu di USJ1 di sini akhirnya dicekup.

Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 22 dan 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, dua daripada suspek bekerja sebagai penjaga parkir manakala seorang lagi adalah penganggur.

"Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kes pecah rumah di kawasan Lembah Klang yang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan dan mengesan jenayah yang dilakukan mereka di sekitar kawasan Subang Jaya dan Lembah Klang.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya bersama anggota Balai Polis Puchong berjaya memberkas dua lelaki termasuk seorang warga Filipina di Pangsapuri Aman, Puchong dan Jalan Persiaran Golf Saujana Lakeview Bunglows Ara Damansara di sini semalam.

Risikin berkata, kedua-dua suspek berumur awal 30-an dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Putra Heights yang mengakibatkan anggaran kerugian mencecah RM30,000.

"Suspek warga tempatan yang berasal dari Sabah dikesan mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Polis merampas dua motosikal jenis Yahama yang dipercayai digunakan semasa melakukan perbuatan jenayah. Siasatan awal mengesyaki suspek terlibat dalam beberapa siri pecah rumah di sekitar kawasan pentadbiran Putra Heights dan Kajang," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman empat hari sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut.