Program Subsidi Petrol cubaan PH putar belit janji manifesto

 Awang Solahudin dan Noh Omar - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Awang Solahudin dan Noh Omar - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Subsidi Petrol (PSP) dilihat sebagai langkah terkebelakang kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan ketidakmampuan mereka menunaikan walau satu janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahudin Hashim berkata, inisiatif itu juga dilihat sebagai cubaan kerajaan PH memutarbelitkan janji asal manifesto pilihanraya pakatan itu menawarkan pengurangan harga minyak runcit semasa kepada RM1.50 seliter.

Menurutnya, sepatutnya kerajaan perlu melihat inisiatif pemberian subsidi petrol penting sebagai ibu kepada kestabilan ekonomi di mana semua kenderaan dalam hampir keseluruhan industri menggunakan bahan bakar iaitu minyak untuk bergerak.

"Dulu janji manifesto PH dianggap terbaik dan dianggap memenuhi keperluan rakyat berbanding kerajaan terdahulu.

"Jadi kerajaan ambil keputusan untuk sokong PH sebagai kerajaan, tetapi kini PH sudah membuat pusingan U dalam setiap janji mereka.

"Daripada sepatutnya harga minyak diturunkan kepada RM1.50 ditukar kepada skim PSP, saya anggap keputusan kerajaan sebagai langkah terkebelakang,"katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menegaskan pihaknya akan mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mengkritik inisiatif baharu kerajaan berkenaan pemberian subsidi bersasar.

Menurutnya, langkah pemberian subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) melalui akaun bank juga akan dinilai dari aspek keberkesanannya sama ada skim ini benar-benar menyelesaikan masalah subsidi tersasar.

Artikel Berkaitan: