Lebih baik kerajaan beri subsidi pengangkutan awam: Pakar ekonomi


JOMO KWAME SUNDARAM
JOMO KWAME SUNDARAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakar ekonomi terkemuka, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram menggesa kerajaan untuk mengutamakan pemberian subsidi pengangkutan awam berbanding subsidi bahan api atau petrol.

Beliau berkata, ia penting bagi membantu golongan bawahan yang lebih banyak bergantung kepada kaedah pengangkutan awam tersebut.

“Siapa yang lebih banyak menggunakan bahan api? (Sudah pastinya adalah kalangan) pemilik kereta. Mereka yang berpendapatan 20 peratus terendah sebaliknya tidak memiliki kereta mahu pun motosikal dan hanya bergantung kepada pengangkutan awam.

"Oleh itu, kerajaan perlu meneliti untuk memberi subsidi pengangkutan awam yang digunakan oleh 70 peratus rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan panel perbincangan bertajuk ‘Growth and Development’ (Pertumbuhan dan Pembangunan) pada Forum Megatrend Khazanah 2019.

Kwame Sundaram berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan memansuhkan mekanisme subsidi petrol sedia ada dan secara berperingkat mengapungkan semula harga runcit petrol RON95 di Semenanjung Malaysia mulai 1 Januari 2020.

Menurutnya, Malaysia juga adalah antara negara yang mencatat pemilikan kereta tertinggi di dunia.

Beliau yang juga Penasihat Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah berkata, kerajaan juga perlu menimbang peluang pertumbuhan atau pembangunan lainnya termasuk beralih kepada penggunaan biodiesel.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan meliberalisasikan sektor tenaga, beliau berkata ini sejajar komitmen ke arah menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang sepatutnya diutamakan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila projek penjana tenaga bebas (IPP) diberi kepada syarikat, kebanyakannya menjana tenaga menggunakan diesel.

"Namun kini mereka menggunakan arang batu iaitu satu langkah ke belakang kerana terdapat banyak bahan sufida dan sulfit yang terlepas ke ruang udara dan menjejaskan kesihatan orang ramai," katanya. - Bernama