Perluas Program Subsidi Petrol kepada kelompok B40, M40

A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) perlu ditambah baik dengan memperluas pemberian kepada seluruh rakyat Malaysia terdiri daripada kelompok B40 dan M40.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata, golongan ini layak menerima subsidi petrol berkenaan mengikut kadar yang rasional bagi memastikan bantuan tersebut dapat disampaikan terus kepada rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata, pengesahan mengenai taraf hidup pemohon terlibat juga boleh dibuat melalui semakan kad pengenalan dan milikan kenderaan yang telah didaftarkan bagi mengenal pasti kedudukan mereka semasa membeli petrol.

"Selepas kadar itu, barulah harga petrol diapungkan mengikut harga pasaran.

"Untuk syarikat bumiputera dan tempatan juga perlu diberi kadar tertentu sebelum harga petrol diapungkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrulrazi berkata, setiap warga asing juga tidak seharusnya mendapat manfaat yang diberikan oleh kerajaan ini.

Mohd Fakhrulrazi
Mohd Fakhrulrazi

Beliau berkata langkah ini dapat menggelakkan subsidi berkenaan diseleweng oleh pihak terlibat.

"Subsidi petrol hanya untuk warganegara Malaysia sahaja. Saya akui mungkin cadangan ini kurang baik tapi ia boleh membantu untuk dikembangkan atau ditambah baik," katanya.

Tambah beliau, penerima yang layak juga dicadangkan boleh menjual subsidi yang diperoleh mereka kepada mana-mana pihak.

"Langkah ini dapat membantu rakyat yang susah untuk mendapat duit secara terus. Sebenarnya cadangan saya ini lebih untuk menumpukan bantuan secara halus kepada orang miskin kerana mereka tak banyak menggunakan petrol seperti kebanyakan orang kaya," katanya.

PSP yang bakal dilaksanakan Januari 2020 menyalurkan bantuan tunai yang dikreditkan terus kepada akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) empat bulan sekali.

Kadar subsidi petrol adalah RM30 bagi kereta dan motosikal RM12 setiap sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PSP menggantikan subsidi petrol sedia ada yang dinikmati oleh semua orang tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan.

Penerima BSH perlu memenuhi kriteria pemilikan kenderaan yang telah ditetapkan iaitu kereta 1,600cc dan ke bawah dan kereta melebihi 1,600 yang berumur 10 tahun ke atas.

Saifuddin juga turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diapungkan bermula awal tahun hadapan berikutan pelaksanaan PSP tersebut.

Katanya, harga RON95 akan dikekalkan pada kadar RM2.08 sehingga 31 Disember depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayaran subsidi petrol dikredit empat bulan sekali

Harga RON95 diapungkan awal tahun depan