Kesejahteraan bangsa, kemakmuran negara dipengaruhi pemimpin

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bersama Tuanku Zara Salim berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah bersamaan 2018 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bersama Tuanku Zara Salim berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah bersamaan 2018 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah kesejahteraan bangsa dan kemakmuran sesebuah negara dipengaruhi sifat dan akal bicara pemimpin.

Baginda bertitah ulama besar, umara yang berwibawa dan peniaga yang jujur akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki sifat takwa, serta menghayati kebesaran Ilahi.



“Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawab lebih besar kepada Allah Maha Pencipta, akan sejahteralah hidup ummah dan makmurlah (sesebuah) negara.



“Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama, dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan. Kepentingan majoriti ummah akan lebih diutamakan,” demikian titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.



Baginda bertitah pimpinan yang lebih bertanggungjawab kepada ummah dan watan, bersih daripada rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa dan menyelewengkan amanah, kini lantang disuarakan.



Sultan Nazrin bertitah pemimpin yang tidak amanah dan berintegriti akan mengakibatkan ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat dan ummah sengsara.



Baginda bertitah kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah melalui kaedah yang meragukan.



“Kekayaan material secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani merupakan kekayaan palsu yang sangat sementara sifatnya, sekadar melahirkan budaya bermewah, bermegah dan budaya melakukan banyak pembaziran.



“Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, penyeludupan, jenayah dan rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.

Artikel Berkaitan:



“Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” titah baginda.



Baginda juga bertitah masalah ummah hari ini berpunca daripada ketiadaan integriti oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan krisis tercetus kerana perebutan membina kekayaan secara tidak telus.



“Malah turut berlakunya perebutan kuasa, kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan keluarga dan kekayaan kroni.



“Budaya hipokrasi melemahkan tiang integriti kerana berlakunya amalan ‘pepat di luar rencong di dalam’, kerana membenarkan ‘gunting selesa dalam lipatan’,” titah baginda.



Dalam pada itu, Sultan Nazrin Shah bertitah sambutan Maulidur Rasul sebaiknya disambut dengan program-program berunsur pengisian dan memberikan makna serta mengandungi peringatan kepada ummah.



Baginda bertitah acara sambutan di negara ini yang dihadiri ketua negara dan ketua kerajaan, para pemimpin dan rakyat jelata berstatus acara rasmi merupakan satu keistimewaan yang dinikmati umat Islam di negara ini.



Tema sambutan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ dipilih untuk menyemarakkan roh ‘Rahmata Lil Alamin’, roh yang menegaskan Islam ialah agama perdamaian, penuh dengan kelembutan serta kasih sayang, dan tidak mengizinkan kekerasan, keganasan dan kebencian.



Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat pada majlis sambutan itu. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga hadir.

Kira-kira 4,000 peserta kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar daripada institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah turut menghadiri perhimpunan bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini. - Bernama