X

Kindly register in order to view this article
!

Nga Kor Ming hadir ke Bukit Aman serah bukti

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming (tengah) hadir ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung status yang dimuat naik dalam akaun Facebook, Nga Kor Ming Super Fans Page.
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hadir ke Bukit Aman hari ini bagi menyerahkan bukti berkaitan siasatan status yang dimuat naik dalam akaun Facebook, Nga Kor Ming Super Fans Page yang dipercayai berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, beliau tampil sebagai saksi bagi membantu siasatan polis.

"Saya gesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk turut menyiasat akaun Facebook bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang melakukan berita fitnah kepada saya.

"Saya yakin kebenaran akan ditegakkan," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Bukit Aman hari ini.

Kor Ming selesai direkod keterangan kira-kira jam 3.05 petang selepas masuk pada jam 1.25 petang.

Tambah Kor Ming, beliau telah menyerahkan beberapa bahan bukti bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan kehadiran pemimpin DAP itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nga Kor Ming dipanggil ke Bukit Aman

Terdahulu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu tiba dengan menaiki kereta rasmi kerajaan negeri, Proton Perdana.

Turut bersama beliau, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan beberapa pemimpin DAP Perak.

Kor Ming sebelum ini memaklumkan satu laporan bersama bukti akan diserahkan kepada polis selepas mendakwa wujud konspirasi politik jahat yang cuba mencemar nama baiknya dan DAP.

Ini berikutan dakwaan beliau, bahawa kenyataan yang dikongsi Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook, merupakan akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan DAP.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus