5 suspek bunuh gajah pygmy dibebas dengan jaminan polis

Gajah pygmy - Foto internet
Gajah pygmy - Foto internet
A
A
A

TAWAU - Lima daripada enam suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seekor gajah pygmy yang ditemui di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini, baru-baru ini, dibebaskan dengan jaminan polis, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor.

Sementara seorang lagi yang merupakan pendatang haram dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan di bawah Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

"Lima orang yang dibebaskan dengan jaminan ini pun akan terus diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) bagi mereka (JHL) menyiapkan kertas siasatan," katanya.

Pada 3 Oktober lalu keenam-enam suspek terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang pendatang haram ditahan reman empat hari sebelum reman mereka disambung dua hari lagi yang berakhir hari ini.

Dalam pada itu Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata, pihaknya kini sedang meneliti dokumen berkaitan kes itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Reman suspek bunuh gajah pygmy disambung

Sementara itu hari ini di Mahkamah Sesyen seorang lelaki Indonesia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki pas atau permit sah menduduki negara ini.

Tertuduh, Osman Ghafar, 48, membuat pengakuan itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen), Amir Shah Amir Hassan selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan Osman didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Felda Umas, Kalabakan pada 1.30 pagi 2 Oktober lalu.

Atas kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1963.

Amir Shah kemudian menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Dayan Nur Azarinahwaty Ag Kachee.

Tertuduh yang juga buruh kasar antara enam lelaki ditahan polis dalam Ops Khazanah pada 2 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes gajah ditemui mati di Sungai Udin oleh sekumpulan pemancing pada 25 Oktober dan sehari kemudian JHL mengesahkan perkara berkenaan. - Bernama