Pembetulan memerlukan pernyataan kesalahan

Tangkap layar mengenai berita berkenaan. Gambar kanan: Ali Muda
A
A

SAYA membaca berita dari portal Sinar Harian bertarikh 6 Oktober 2019 seperti dilaporkan oleh Asyraf Muhammad di bawah tajuk ‘Jakim perlu betulkan konsep Rahmatan Lil Alamin’. Tajuk itu dipetik daripada salah satu resolusi Kluster Agama Persidangan Meja Bulat pada 23 dan 24 September 2019 di Hotel Tenera Bangi. Ia dibacakan oleh YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Melawati pada 6 Oktober 2019.

Merujuk kepada teks asal ucapan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, desakan dan tuntutan pada poin no.9 menyatakan “Jakim hendaklah memperbetulkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan hifz ad din dengan mengambil kira pandangan ulama yang muktabar dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah”.

Untuk pengetahuan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, inisiatif Jakim mempromosikan gagasan RLA, Maqasid Syariah dan Model Malaysia itu kepada kementerian dan jabatan kerajaan bukanlah tindakan berdasarkan arahan persendirian YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), sebaliknya perkara berkaitan telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-254 pada 4 Julai 2019.

Sebelum itu ia telah dibentangkan di peringkat Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang ke-65 yang diadakan pada 14 Mac 2019 yang bersetuju agar program-program penjelasan nilai RLA dan Maqasid Syariah yang menjadi tonggak Gagasan Negara Rahmah dilaksanakan oleh semua agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ia rentetan daripada titah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Dewan Rakyat pada 11 Mac 2019 yang “amat menyokong usaha kerajaan mempromosi nilai dan budaya kerja Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah”.

Wajar juga diingatkan kembali bahawa Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah menyatakan ikrar dalam pertemuan sulung bersama para ulama dan cendikiawan Islam pada 31 Julai 2018 di Jabatan Perdana Menteri bahawa pentadbiran kerajaan baharu adalah berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis sahih.

Maka gagasan RLA, Maqasid Syariah dan Model Malaysia adalah gagasan-gagasan untuk menterjemahkan ajaran al-Quran dan hadis sahih ke alam realiti di negara ini. Oleh yang demikian, rujukan Jakim dalam mempromosi gagasan RLA, Maqasid Syariah dan acuan Model Malaysia adalah berlandaskan ajaran al-Quran, hadis sahih serta kupasan para ulama muktabar di zaman klasik dan kontemporer. Tiada satu pun rujukan dibuat kepada ideologi sekularisme atau pluralisme barat.

Untuk memantapkan lagi kupasan berkenaan RLA, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin pada 19 September 2019 yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jakim perlu betulkan konsep Rahmatan Lil Alamin

Tokoh-tokoh ulama dan sarjana pengajian dan pemikiran Islam tempatan dan Nusantara yang hadir membentangkan kertas kerja dan membahas secara mendalam ialah Prof Emeritus Tan Sri Dr. Muhammad Kamal Hassan (Malaysia), Prof. Dr. Muchlis M. Hanafi (Indonesia), Dato’ Profesor Dr. Afifi al-Akiti (Malaysia/Oxford), Prof. Dato’ Dr. Noor Inayah Ya’akub (Malaysia), Prof. Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya (Thailand), SS Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia), Prof. Dr. H. Warul Walidin (Acheh, Indonesia), Dr. Lily Suzana Haji Samsu (Brunei) dan Encik Mohamad Helmy Mohd Isa (Singapura).

Mereka telah sepakat bersetuju menjadikan dasar RLA sebagai agenda asas negara dalam membina dan melahirkan generasi rahmah melalui pemahaman, pemupukan dan semangat toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Pendefinisian toleransi dan konsep-konsep yang tersebut perlu dibina berdasarkan nilai-nilai murni dan kearifan tempatan, bukan pinjaman dan rujukan dari aliran Sekularisme, Pluralisme dan Perennilisme.

Di sini sukalah saya menyambut saranan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperbetulkan konsep Rahmatan Lil Alamin (RLA) itu.

Sebagai pegawai yang turut bertanggungjawab membuat pembentangan kertas konsep, diskusi meja bulat (RTD) dan penulisan modul berkaitan gagasan Rahmatan Lil Alamin dan juga Maqasid Syariah yang membabitkan libat urus lebih 20 jabatan kerajaan setakat ini, antaranya Bahagian Dakwah Jakim, Institut Latihan Ilmu Islam (ILIM) Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Perpaduan Negara, TV al-Hijrah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kumpulan Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Peringkat Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Kader Jakim dalam PDRM, Bahagian Integriti Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain lagi.

Saya sangat mengalu-alukan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan sesiapa sahaja agar menyatakan kesilapan atau kesalahan yang berlaku dalam gagasan RLA itu.

Hal ini kerana sepanjang pembentangan, perbincangan dan perbahasan yang tersebut, saya tidak mendapat maklum balas daripada mana-mana pihak daripada jabatan-jabatan berkenaan bahawa berlaku kesilapan atau kesalahan dalam konsep RLA yang dipelopori YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan dipromosikan Jakim itu. Dalam setiap kursus dan pembentangan, ramai peserta yang memiliki ijazah master dan PhD dalam bidang masing-masing. Mereka bukanlah orang biasa-biasa yang hanya tahu menadah maklumat yang disuapkan oleh penceramah yang dilantik Jakim.

Walau bagaimana pun saya tidaklah mendakwa bahawa YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Jakim atau saya sendiri tidak pernah melakukan kesalahan atau kekhilafan. Kami sangat terbuka kepada kritikan yang membina dan objektif yang menegur dan membetulkan kesilapan yang kami lakukan, jika ada.

Apa yang kami sasarkan ialah mesej RLA yang merupakan inti ajaran Islam ini sampai kepada masyarakat melampaui batas agama, kaum dan politik, bertepatan dengan sokongan DYMM YDP Agong dan ikrar YAB Perdana Menteri. Tanpa menyatakan di mana kesilapan atau kesalahan konsep RLA itu, pihak Jakim tidak boleh membuat pembetulan. Justeru diharapkan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan pasukan dari klusternya menyatakan secara terperinci akan kesilapan atau kekhilafan tersebut.

***Ali Muda merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.