Ada B40 miliki enam buah kereta, kata Tun M

Tun Dr Mahathir - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Tun Dr Mahathir - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ada dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) yang memiliki sehingga enam buah kereta menyebabkan sistem Program Subsidi Petrol (PSP) perlu disasarkan tepat kepada mereka benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melalui langkah itu kita dapat mengelakkan pemberian subsidi diberikan kepada golongan berkemampuan dan kaya.

Menurutnya, pihaknya melihat pemberian subsidi petrol kaedah lama, ada yang menggunakan kenderaan mewah seperti Rolls-Royce pun dapat menikmatinya.

"Kita dapati setelah dikaji ada orang di bawah B40 memiliki sehingga enam kereta dan menikmati pemberian subsidi minyak daripada kerajaan.

"Sebab itu sekarang kita beri untuk satu kereta sahaja kalau mereka daripada B40.

"Kita tak boleh bagi subsidi kepada orang kaya pun," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, faktor menumpukan kepada golongan memerlukan juga menyebabkan kerajaan meletakkan syarat golongan B40 dibenarkan menerima PSP terdiri kereta bawah 1600 kuasa kuda dengan terhad kepada sebuah kereta sahaja.

"Ini bantuan tepat kepada mereka yang perlu bantuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam PSP yang dilancarkan kerajaan hari ini akan menyalurkan bantuan tunai dikreditkan terus kepada akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan bagi setiap empat bulan sekali bermula awal tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kadar subsidi petrol adalah RM30 bagi kereta dan motosikal RM12 setiap sebulan.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan sebanyak 2.9 juta penerima akan mendapat manfaat daripada program subsidi tersebut dan anggaran tanggungan bagi perlaksanaan tersebut adalah RM65.4 juta sebulan.

Jelasnya, program itu merupakan satu bentuk bantuan kewangan untuk membantu rakyat membiayai sebahagian kos penggunaan petrol.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayaran subsidi petrol dikredit empat bulan sekali