Semua pihak perlu kerjasama jaga pulau, pantai di Johor

No Image Caption
A
A
A

MERSING - Kerjasama semua pihak perlu bagi memastikan kawasan pulau dan pantai terus terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh mengganggu ekosistemnya sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung bersempena Tahun Melawat Johor 2020.

Justeru semua pihak termasuk agensi dan pengusaha sektor pelancongan di negeri ini perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam usaha merealisasikan hasrat itu.

Mengambil inisiatif demikian Ketua Pegawai Operasi Iskandar Investment Bhd (IIB), Datuk Akmal Ahmad berkata, ​​​​​​inisiatif membersihkan pulau dan pantai sebagai contoh, dapat dilaksanakan dalam skala lebih besar misalnya dengan penglibatan daripada syarikat-syarikat swasta.

"Ini kerana keindahan pantai dan pulau yang bersih pastinya dapat menarik tumpuan lebih ramai pelancong seterusnya memberi limpahan ekonomi terutama kepada masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup di Pulau Pemanggil baru-baru ini Akmal berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan program itu sebagai satu jenama untuk dipromosikan ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, program yang bermula pada 4 Oktober dan berlangsung selama tiga hari itu membabitkan kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada kakitangan IIB, Cawangan Taman Laut Johor, ICycle dan pengamal media.

"Program ini merupakan satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) IIB terhadap masyarakat khususnya rakyat Johor bermula tiga tahun lepas yang mana pada kali ini kita lebih fokus kepada Pulau Pemanggil selain pantai di Kampung Buau dan Kampung Sulit serta dasar laut.

"Sebanyak 573 kilogram (kg) sampah sarap berjaya dikutip di sekitar pantai dan dasar laut sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 500kg malah mengatasi jumlah kutipan dalam program sama di Pulau Aur tahun lepas iaitu 480kg," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah sampah sarap di dasar laut yang berjaya dikutip turut meningkat kepada 90kg termasuk pukat hantu yang digunakan oleh golongan tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan hidupan marin dan terumbu karang terjejas. - Bernama