Konflik manusia, kera perlu penyelesaian berkesan

Salah seekor kera yang terdapat di Taman Botanikal Melaka dekat Ayer Keroh, hari ini. - Foto Bernama
Salah seekor kera yang terdapat di Taman Botanikal Melaka dekat Ayer Keroh, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kawasan habitat yang terancam akibat pembangunan seperti pembalakan, pertanian dan perumahan serta kadar pembiakan tinggi menyebabkan kera menimbulkan konflik dengan menceroboh penempatan manusia bagi mendapatkan makanan.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata, konflik antara manusia dan kera bukan satu perkara baharu dan ia berlaku disebabkan haiwan liar itu terdesak apabila kawasan habitatnya semakin terancam.

“Penerokaan hutan yang tidak sistematik menyebabkan kawasan hutan menjadi semakin kecil memberi kesan kepada kawasan rayau haiwan liar seperti kera untuk memasuki penempatan manusia bagi mendapatkan makanan.

“Selain itu sikap manusia yang suka memberi makanan seperti buah-buahan, roti, kuih dan sebagainya kepada kera antara faktor menyebabkan haiwan tersebut membiak dengan cepat dan tidak terkawal,” katanya kepada Bernama.

Katanya, salah satu daripada punca peningkatan kadar pembiakan adalah kerana kera memperolehi jumlah dan kualiti makanan lebih baik berbanding dengan makanan yang diperolehi secara semula jadi di habitat asal.

“Kegagalan pihak berkenaan dalam pengurusan sampah juga boleh menyumbang kepada peningkatan populasi kera,” katanya.

Bagi mengatasi masalah tersebut beliau mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil kira kehadiran haiwan liar di kawasan sekitar dalam perancangan pembangunan sesuatu kawasan yang berdekatan dengan hutan bagi mengurangkan kadar konflik antara manusia dan haiwan liar seperti monyet dan kera.

Ahmad berkata, orang ramai juga harus diberikan pendedahan yang secukupnya tentang kera agar mereka mendapat pengetahuan secukupnya apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan memasang perangkap kera bagi mengurangkan bilangan kera bukanlah satu penyelesaian terbaik bagi mengatasi konflik ini.

“Saya mencadangkan agar pihak berkenaan melakukan kajian terhadap haiwan liar ini bagi mencari jawapan bagaimana untuk menyelesaikan perkara ini. Konflik haiwan liar dan manusia adalah isu global sama ada di negara maju atau sedang membangun,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan yang lestari hanya boleh dicapai sekiranya penyelidikan terperinci dilakukan termasuk kelestarian populasi hidupan liar.

“Jawapan bagaimana ingin membina pembangunan yang lestari hanya dapat dijawab apabila pihak berkenan mempunyai data dan kajian lengkap bagi mengatasi permasalahan ini,” katanya.

Sementara itu Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkata, dalam usaha mengatasi masalah tersebut kerajaan negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM50,000 daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan sangkar perangkap kera dan babi.

Beliau mengakui bahawa usaha menangkap kera bukan satu penyelesaian terbaik pihaknya telah melakar beberapa pelan jangka panjang agar perkara ini dapat diselesaikan secara total pada masa akan datang.

“Dalam rangka pelan jangka panjang..kita ada mencadangkan agar haiwan liar seperti kera dan babi ditempatkan di pulau yang tidak berpenghuni.

“Selain itu Kerajaan negeri ada menerima cadangan agar perkara berkaitan haiwan liar dimasukkan dalam kajian sebelum pembangunan sesuatu kawasan baharu diluluskan bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dan kita di peringkat kerajaan negeri akan memperhalusi perkara ini,” katanya.

Mengikut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka,rekod aduan gangguan kera di Negeri Melaka bagi Januari hingga September 2019 adalah sebanyak 716 aduan.

Dari jumlah aduan tersebut 268 aduan direkodkan di daerah Alor Gajah, 253 aduan di Melaka Tengah dan 195 aduan di daerah Jasin. Sepanjang tempoh tersebut juga sebanyak 2,552 ekor kera telah berjaya ditangkap. - Bernama