Sanggup tinggalkan jurusan perubatan demi ibu

Antara komen netizen berkenaan posting yang dimuat naik oleh Shazreeyana mengenai ibunya
A
A

KUALA LUMPUR - Perkongsian seorang wanita yang kehilangan ibu ketika di usia remaja sehingga menyebabkan dia terpaksa menamatkan pengajian dalam jurusan perubatan ketika di tahun akhir di sebuah kolej mengundang kesedihan dalam kalangan netizen di Twitter.

"Kakak, jaga adik-adik. Tengokkan adik-adik. Kakak anak sulung mama. Tengokkan abah sekali," tulis Shazreeyana dalam catatannya berkongsi pesanan terakhir arwah ibunya.

Menurut Shazreeyana Ahmad Shukri, 34, atau dikenali Kak Love di laman Twitternya berkata, ibunya disahkan menghidap kanser paru-paru atau adenocarcinoma tahap dua yang merupakan kanser cepat merebak selepas melakukan pemeriksaan kesihatan pada 2007.

Shazreeyana berkata, terdahulu, ibunya yang juga pensyarah di sebuah politeknik di Kulim, Kedah mendapat tawaran menyambung pengajian ijazah sarjana di Australia dan penyakitnya itu dikesan selepas dia membuat pemeriksaan perubatan iaitu prosedur biasa sebelum melanjutkan pengajian.

"Mama sangat gembira bila dapat tahu dapat sambung pengajian di Australia. Ketika itu, mama merancang membawa adik bongsu saya, Shafeeq yang ketika itu masih belajar di tingkatan tiga belajar di sana," katanya.

Shazreeyana berkata, sebelum disahkan menghidap barah, ibunya mengalami batuk kira-kira sebulan.

"Jadi sebagai pelajar perubatan, setiap kali balik cuti saya bawak balik stethoscope nak periksa pernafasan dia. Tak ada 'wheezing' atau lain-lain. Dia kata batuk tak ada kahak tetapi rasa macam gatal-gatal, tekak tak puas bernafas. Masa itu saya baharu tahun tiga," katanya.

Sebagai anak sulung katanya, dia mengakui sangat rapat dengan arwah ibunya dan terbukti apabila terpaksa mengorbankan pengajiannya kerana sentiasa terbayang-bayang wajah ibunya yang menghembuskan nafas terakhir di hospital.

Shazreeyana turut berkongsi ketabahan arwah ibunya selepas disahkan menghidap kanser antaranya sentiasa ceria walaupun sakit, suka memasak dan seorang yang sangat positif.

Bagaimanapun pada 13 September 2008, dia dan adik-beradiknya terpaksa menerima hakikat kehilangan ibu selepas dijemput Ilahi ketika bulan Ramadan selepas arwah mengadu tidak boleh bernafas disebabkan paru-parunya berdarah dan tahap oksigennya menurun.