Malaysia perlu tiga tahun pulihkan kedudukan fiskal

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengadakan sidang akhbar selepas majlis menandatangani plak projek naik taraf lif perumahan Kastam Bukit Gelugor hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengadakan sidang akhbar selepas majlis menandatangani plak projek naik taraf lif perumahan Kastam Bukit Gelugor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskalnya dan muncul sebagai ekonomi pesat membangun yang mempunyai harapan yang paling cerah, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, walaupun baharu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan perdana menteri tertua di dunia, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah mencipta beberapa kejayaan yang nyata.

"Malaysia membebaskan dirinya daripada menjadi simbol kleptokrasi global dengan melaksanakan akauntabiliti penuh ke atas skandal 1MDB, berusaha memperoleh semula wang yang dicuri dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab," kata Lim dalam mesej Tahun Baharu DAP 2019 atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung DAP dan anggota parlimen Bagan.

Beliau berkata 2019 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk Malaysia jika rakyat kekal bersama untuk masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita.

"Jika bersama-sama kukuh ekonomi kita boleh makmur dan rakyat Malaysia sekali lagi dihormati di peringkat global," kata Guan Eng, sambil menambah bahawa pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang dinikmati oleh semua merupakan penawar terbaik kepada politik beracun polarisasi, mengeksploitasi perkauman dan ekstremisme agama yang mengancam politik Malaysia.

Penunjuk ekonomi yang menggalakkan termasuk pertumbuhan semula eksport pada Oktober 2018 ke paras tertinggi dalam sejarah dalam sebulan sebanyak RM96.4 bilion selain lebihan dagangan sebanyak RM16.3 bilion, merupakan rekod negara.

Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor perkilangan meningkat dari Mei hingga September 2018 sebanyak RM 27.7 bilion atau 379 peratus, daripada RM7.3 bilion pada 2017 kepada RM35 bilion pada 2018

Bloomberg meletakkan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan 20 ekonomi terkemuka dunia, dan walaupun perlu membetulkan kedudukan kewangan kerajaan terdahulu, ketiga-tiga agensi penarafan kredit antarabangsa mengekalkan penarafan Malaysia, kata Lim.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng berkata kekurangan dana akibat pemansuhan GST, dan masalah kewangan akibat skandal 1MDB dan hutang RM1 trilionnya, tidak menghalang kerajaan PH untuk meneruskan program bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Buat pertama kalinya, harga petrol dan kenaikan tol lebuh raya tidak dinaikkan, dan penjawat awam mendapat bayaran khas pada tahun yang sama, dan bukan pada tahun berikutnya.

Kumpulan B40 juga menikmati perlindungan insurans kesihatan percuma dalam bentuk pembayaran sekali sebanyak RM8,000 untuk jangka masa yang belum ditetapkan, dan pendapatan penghospitalan selama 14 hari sebanyak RM50 sehari atau RM700 setahun.

"GST digantikan dengan SST, dan RM19.4 bilion dalam pembayaran balik GST yang belum dibayar akhirnya akan dipulangkan kepada pembayar cukai pada 2019, selepas kelewatan dua tahun disebabkan kerajaan terdahulu tidak berbuat demikian," kata Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan PH berjaya melaksanakan penjimatan tambahan sebanyak RM1.6 bilion pada akhir tahun, yang dikongsi bersama penjawat awam, penoreh getah dan pekebin kecil, peneroka Felda dan ibu bapa yang berpendapatan kurang daripada RM3,000. - Bernama