Maruah Melayu dan perubahan sikap politik

A
A

APABILA empat buah universiti bergabung untuk membawa panji maruah Melayu melalui satu kongres nasional, sambutan diterima sangatlah luar biasa.Pada saat politik orang Melayu berpecah kepada beberapa kelompok dek penangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), maka berbondong-bondong orang Melayu turun memenuhi Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor kelmarin.

Kebanyakannya sedar selepas PRU14, kedudukan politik orang Melayu makin goyang akibat berpecah kepada enam parti.

Itu belum mengambil kira pendedahan bahawa pemilikan ekuiti korporat bumiputera merudum tujuh mata daripada 23 peratus pada 2011 kepada 16 peratus pada 2015.

Sentimen agama dan bangsa sama ada sengaja atau secara tidak sengaja telah dipolitikkan secara berleluasa sehingga menjadi api yang ‘membakar’ keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Tidak dinafikan akibat kelemahan suara orang Melayu, segelintir pihak lain mengambil kesempatan membangkitkan beberapa isu sensitif dalam Perlembagaan terutama membabitkan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu, pendidikan dan ekonomi.

Hak asasi telah dijadikan senjata ‘utama’ untuk menimbulkan pertikaian tersebut.

Tekanan demi tekanan itu menyebabkan orang Melayu merasakan maruah kaumnya makin tergugat sehingga perlu diadakan satu kongres memartabatkan semula maruah Melayu.

Maka, penganjuran Kongres Maruah Melayu kelmarin dilihat menjadi medan utama baik orang politik, tokoh agama, cendekiawan, pertubuhan bukan kerajaan mahupun mahasiswa berkumpul dan kembali berada dalam satu saf.

Sekurang-kurangnya penganjur berjaya mempotretkan ‘penyatuan’ pemimpin Melayu daripada pelbagai parti politik di atas satu pentas.

Persoalannya kini, ke mana hala tuju untuk membawa maruah Melayu itu?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam amanatnya kelmarin tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada orang Melayu, sebaliknya mengakui maruah Melayu terletak di tangan orang Melayu sendiri.

Negarawan itu memulangkan persoalan maruah itu kepada orang Melayu sendiri, bahkan menggesa orang Melayu bekerja kuat.

Adakah orang Melayu mahu dan mampu berubah demi memartabatkan maruah?