Ayuh 'think about it'

A
A
A

KENYATAAN selebriti popular, Maya Karin dalam Twitter menjadi trending kelmarin disebabkan persoalan ‘how old are you?’Ramai yang mengecam kenyataan itu apatah lagi Maya turut tagging beberapa individu termasuklah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek.

Namun tidak kurang juga yang menyokong apa yang dimaksudkan oleh aktres jelita itu.

Bagi penulis, pertanyaan itu tiada khilafnya. Hala tuju ayat itu bergantung kepada bagaimana kita membaca serta memahaminya.

Jika dibaca ayat akhir pada tulisan Maya itu ‘think about it’, ya memang Kementerian Pendidikan kena fikirkan semula.

Bukan apa, pertanyaan Maya kepada murid terbabit adalah satu persoalan asas yang mula dipelajari di peringkat tadika lagi.

Ibaratnya jika kanak-kanak tadika belajar bahasa Melayu, persoalan siapa nama awak? Berapa umur awak? Itu persoalan utama yang dipelajari dalam memahami bahasa Melayu.

Jadi, kebimbangan Maya terhadap penguasaan bahasa Inggeris murid tahun empat itu ada asasnya. Ya, Maya pun tidak sebut dia salahkan sesiapa namun kita yang berfikiran terbuka ini sepatutnya faham bahawa sesuatu perlu dilakukan terhadap silibus dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris di sekolah.

Jika ingin membincangkan cara pembelajaran bahasa di sekolah sebenarnya memang ada kelemahannya. Penulis tidak pasti di mana betul letaknya kelemahan itu tetapi ada pengalaman untuk dikongsi.

Artikel Berkaitan:

Penulis mempunyai anak berumur 10 tahun. Semasa berumur empat tahun, dia dihantar ke tadika swasta. Semasa di tadika, pembelajaran bahasa Inggerisnya sangat memuaskan hati.

Dia boleh bertutur dan membaca dalam bahasa Inggeris dengan sangat jelas dan lancar walaupun di rumah, bercakap dalam bahasa itu bak kata P Ramlee ‘kadang-kadang saja ia berlaku.’ Itu waktu berada di tadika.

Tetapi apabila dia masuk sekolah rendah, dia dah kurang bertutur dalam bahasa Inggeris. Di rumah apatah lagi, boleh dikira ayat bahasa Inggeris yang dituturnya.

Memang ada silapnya penulis sendiri yang tidak bertutur sepenuhnya dalam bahasa itu di rumah. Tetapi persoalannya, bagaimana tadika boleh mempraktikkan pembelajaran bahasa Inggeris secara berkesan sedangkan di sekolah lain caranya sehingga langsung hilang ayat dalam bahasa Inggeris yang keluar dari mulut anak penulis.

Penulis tidak salahkan cikgu sepenuhnya apatah lagi ‘cikgu’ utama di rumah pun tidak mempraktikkannya.

Namun betul apa yang Maya mahu Menteri Pendidikan lakukan iaitu 'think about it!' memang ada asasnya.

Begini, kita faham benar persoalan bahasa sama juga seperti agama, sangat sensitif dan hampir tidak boleh disentuh langsung.

Namun, seiring dengan zaman yang pantas beredar, penguasa negara perlu melakukan sesuatu agar generasi masa depan mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan.

Mungkin ramai yang tidak sedar, hampir semua anggota Kabinet, profesor, ahli perniagaan dan tokoh korporat boleh berbahasa Inggeris dengan baik malah, sebahagian besarnya mendapat peluang belajar di luar negara. Itu mungkin suratan rezeki mereka.

Jadi bagi kita yang berada pada tahap pertengahan ini, tidak perlu melatah, melantun atau memberi reaksi segera yang mempersenda apa yang Maya katakan kerana kita sendiri belum tentu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Penulis juga sekadar memberikan buah fikiran, bukan menyokong secara bebal apa yang dikatakan pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke itu.

Artis itu hanya suruh kita semua termasuk kementerian bertanggungjawab berfikir sedalam-dalamnya senario yang berlaku dan oleh kerana bahasa Inggeris digunakan oleh berjuta-juta orang untuk bertutur, jadi mari kita ‘think about it.’

* Nurhafiza Hasan ialah Penolong Editor Sinar Harian Edisi Nasional