Aksi comel pesilat cilik

Aksi spontan tiga beradik, Muhammad Iman Haikal, Nur Iman Adni dan Nur Iman Awatif (kanan).
Aksi spontan tiga beradik, Muhammad Iman Haikal, Nur Iman Adni dan Nur Iman Awatif (kanan).
A
A
A

SUNGAI PETANI - Atur langkah bersahaja membuat pertunjukan dengan lengkap berpakaian tradisional Melayu, dua pesilat cilik mencuri tumpuan dengan aksi comel mereka.

Nur Iman Adni Erwan, 7, dan kakaknya, Nur Iman Awatif, 10, dikatakan aktif mendalami ilmu persilatan sejak berusia empat tahun.

Bapa mereka, Erwan Darus, 42, berkata, bukan kebanggaan yang dimahukan sebaliknya dia dan isteri, Siti Khatijah Hasan, 38, bersyukur apabila anak mereka mampu mewarisi warisan bangsa.

Menurut Erwan, tiada paksaan dalam soal mempelajari dan mendalami ilmu persilatan sebaliknya, kedua-dua kanak-kanak itu mula meminati sukan berkenaan kerana sering didedahkan dengan persekitaran serupa.

Erwan yang merupakan Guru Utama Seni Silat Anak Melayu Kedah mula membuka kelas pada awal tahun ini di Taman Ria Jaya, Sungai Petani kepada kanak-kanak secara percuma.

Ia bertujuan memberi peluang kepada golongan B40 mempelajari silat selain membentuk rasa keikhlasan dalam berkongsi ilmu.

“Saya selalu berpesan kepada mereka, belajar silat bukan untuk menunjuk siapa hebat di depan lawan sebaliknya untuk merapatkan ukhuwah dan secara batinnya mahu mencari Tuhan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Erwan (tengah) aktif mendalami ilmu persilatan sejak 15 tahun lalu.
Erwan (tengah) aktif mendalami ilmu persilatan sejak 15 tahun lalu.

Apabila ditanya alasannya mengajar anak perempuan bersilat, Erwan menjelaskan, ia persediaan mempertahankan diri sekiranya diserang musuh.Setakat ini, dua beradik itu aktif membuat persembahan serta memenuhi jemputan pertunjukan setiap hujung minggu sama ada majlis rasmi mahupun santai di utara Malaysia.

Seperti kanak-kanak lain, Nur Iman Adni dan Nur Iman Awatif suka bermain dan beriadah, namun waktu belajar dan latihan silat diseimbangkan dengan baik.

Jelas Siti Khatijah, kedua-dua anak perempuannya itu aktif kegiatan ko-kurikulum di sekolah termasuk pertandingan mewarna.

“Jemputan hanya dipenuhi setiap hujung minggu tanpa mengganggu persekolahan mereka,” katanya.

Antara pertunjukan dan penyertaan yang pernah disertai termasuklah Majlis Santai Silaturahim Persilatan dan Pergendangan 2019, Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri, Festival Seni Silat Merdeka, Majlis Anugerah Selendang Jurulatih, Sungai Petani Bertanjak dan persembahan meraikan perkahwinan.

Katanya, disebabkan belum mencapai kelayakan umur menyebabkan kedua-duanya belum pernah menyertai sebarang pertandingan silat.