Orang ramai sifatkan kadar subsidi RON95 tidak relevan

Ahmad Asyraf
Ahmad Asyraf
A
A
A

SHAH ALAM - Program subsidi bersasar bagi petrol RON95 tidak mampu memenuhi keperluan golongan sasaran khususnya yang terikat dengan pekerjaan yang memerlukan belanja yang tinggi bagi kos perjalanan.

Eksekutif Pemasaran, Ahmad Asyraf Norzali, 29, berkata, walaupun pendapatannya melayakkan dia menerima subsidi berkenaan, namun jumlah subsidi tersebut dilihat tidak relevan dengan keperluan semasa.

"Contoh pekerjaan seperti saya memerlukan saya bergerak ke sana sini. RM30 untuk minyak kereta sehari sudah habis. Malah jika pakai motosikal pun RM12 tidak cukup untuk sebulan. Biasanya dua hari sudah habis.

"Jadi pada saya jumlah ini tidak relevan untuk golongan berpendapatan rendah tetapi pekerjaan mereka memerlukan mereka banyak bergerak," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ameer
Ameer

Pekerja swasta, Ameer Satria Md Rodzi, 29, turut senada menyifatkan kerajaan perlu mengkaji perkara itu dengan lebih teliti.

Menurutnya, kadar RM30 sebulan bagi kenderaan adalah tidak logik dan tidak memberi sebarang kesan kepada golongan sasar.

“Apa yang dilaksanakan seperti sekadar buat tanpa mengkaji. Sepatutnya apa saja bantuan yang hendak diberikan kepada rakyat perlu pastikan ia benar-benar membantu bukan retorik semata-mata,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Murshid
Murshid

Sementara itu, Ketua Biro Agama Majlis Ayahanda Melaka, Murshid Wirdan 64, berpendapat, ramai lagi rakyat layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH), namun gagal mendapatkan bantuan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau bimbang penerima bantuan yang sepatutnya layak untuk menerima bantuan tercicir kerana nama mereka tidak tersenarai dalam senarai penerima bantuan BSH sebelum ini.

"Masih terlalu awal untuk menilai, secara kasar mungkin bagus tetapi mungkin tidak semua merasa contohnya nama penerima yang tercicir selepas Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) ditukarkan kepada BSH," katanya.