Gerakan lebih besar UMNO-Pas demi kukuhkan Melayu

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Satu gerakan lebih besar akan dilakukan UMNO dan Pas demi mengukuhkan kuasa kemelayuan tanpa mengetepikan hak bukan Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.

Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, gerakan itu perlu dilakukan selepas kepentingan Melayu tergugat teruk sejak pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, kebimbangan dan kesayuan itu telah diluahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat kemelayuannya sekarang.

"Jadi sudah pasti gerakan lebih besar akan dilakukan bagi memperkuat Melayu dan saya percaya kepada pepatah sesudah biduk berlalu, maka kiambang pun bertaut dan kembalilah Melayu pada persada kuasa yang sepatutnya di atas tanah tumpah darah kita yang asalnya bernama Tanah Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Dr Mahathir secara tersirat mengakui Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO dan Pas tindakan tepat.

Katanya, beliau dapat menyelami pengakuan itu apabila mendengar keseluruhan ucapan Perdana Menteri itu pada Kongres Maruah Melayu (KMM) di Shah Alam kelmarin.

Menurutnya, atas kesedaran mengenai pentingnya perpaduan Melayu dan di sebalik pandangan negatif sesetengah pihak, saya bersama 13 Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan Setiausaha Agung UMNO telah hadir ke KMM itu.

“Kehadiran kami adalah untuk mendengar sendiri amanat Dr Mahathir, yang mana intipati ucapannya mengesahkan tindakan UMNO dan Pas menyatukan ummah adalah tepat.

Artikel Berkaitan:

“Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional ini juga merupakan agenda perjuangan kami kerana melihat kepentingan orang Melayu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah terhakis teruk dan tergugat,” katanya.

Justeru kata beliau, kerajaan PH yang diketuai Dr Mahathir dilihat terlalu ‘akomodatif’ serta ‘beri muka’ secara tidak munasabah kepada kehendak bukan Melayu.

Jelasnya, sebagai contoh yang nyata dengan melihat komposisi Kabinet yang mana ada sebahagian kementerian utama sepatutnya diterajui orang Melayu tetapi diberikan kepada bukan Melayu seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Kerana komposisi Kabinet seperti inilah maka berlaku seperti kata bidalan ‘bagaimana acuan, begitu rupa kuihnya’.

“Malah Dr Mahathir sendiri berkali-kali menyebut sebelum ini dan diulangnya lagi pada KMM betapa orang Melayu makin lemah akibat parti politik yang mereka anggotai telah menjadi semakin banyak,” katanya.