Sarawak dan lagu Negaraku

A
A
A

BARU-baru ini, beberapa aktivis dari Sarawak tidak bangun menghormati lagu Negaraku. Dari segi undang-undang, perbuatan tidak menghormati lagu Negaraku boleh di kenakan hukuman.

Aktivis itu berhujah bahawa lagu Negaraku dibuat sebelum Malaysia diwujudkan pada 1963.

Sebelum 1963, negara yang bernama Malaysia belum wujud. Hanya Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya wujud setelah mencapai kemerdekaan 1957. Kemerdekaan 1957 tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.

Lagu Negaraku adalah lagu untuk meraikan kemerdekaan 1957 bukan penubuhan Malaysia 1963. Itu kesimpulan hujah para aktivis Sarawak berkenaan.

Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan, mengatakan aktivis-aktivis Sarawak itu boleh dikenakan hukuman tetapi itu tidak dapat menyelesaikan akar masalah iaitu rakyat Sarawak semakin rasa jauh hati daripada Malaya.Ini bermakna kalau benar kata Lee Shan, maka wujud percanggahan antara legalisme dan roh etika.

Secara legalisme, tidak bangun menghormati lagu Negaraku adalah salah tetapi bagaimana pula sentimen kolektif masyarakat Sarawak yang tidak rasa lagu Negaraku adalah darah daging mereka dan tidak rasa bangun menghormatinya itu merupakan etika?

Adakah hukuman sahaja dapat memupuk rasa etika iaitu rasa pertalian erat dengan lagu Negaraku? Atau hukuman akan memburukkan lagi rasa jauh hati daripadanya secara kolektif?

Komen Lee Shan perlu diberi perhatian kerana sentimen asabiyyah itu cepat menular dalam dunia ledakan informasi ini. Kita lihat bagaimana gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) begitu cepat mendapat sokongan masyarakat Barat walaupun legalisme tidak mengiktiraf perkahwinan gay.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya gerakan LGBT dalam sekelip mata menewaskan legalisme dan mengubah undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan gay.

Pada 1970-an, gay dianggap perbuatan sumbang tetapi pada tahun 2000, ia di anggap fitrah semula jadi!

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Sarawak dan Sabah boleh menjadi penentu hala tuju kepimpinan negara. Bahkan boleh menjadi penentu siapa Perdana Menteri seterusnya. Sekadar hukuman undang-undang tanpa kesedaran tentang betapa perlunya wujud semangat rakyat sudah pasti akan memecahbelahkan atau mewujudkan konflik dalaman dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Ramai tidak tahu bahawa Sarawak adalah sangat unik kerana ia diperintah oleh kaum minoriti iaitu Melanau dan Melayu tetapi mindset rakyat Sarawak sangat lain daripada Semenanjung.

Mindset di Semenanjung masih berpegang pada sentimen ketuanan majoriti. Melayu adalah majoriti, maka Melayu patut perintah. Tetapi di Sarawak, wujud semangat identiti 'Kami Adalah Rakyat Sarawak' yang lebih kuat daripada Semenanjung.

Maknanya identiti Bangsa Sarawak di mana setiap rakyat Sarawak fasih dialek Sarawak adalah amat kukuh.

Semenanjung masih terlalu lemah dari segi ini kerana konflik perkauman masih tinggi atau makin tinggi di Malaysia. Ramai rakyat yang bukan Melayu di Semenanjung tidak mampu berbahasa Melayu tetapi setiap rakyat Sarawak fasih dialek Sarawak.

Itu pun sudah cukup mencerminkan betapa sentimen Kami Rakyat Sarawak adalah asas utamanya. Maka, tidak menjadi masalah apabila Melanau menjadi Ketua Menteri.

Untuk menanam semula rasa kekeluargaan dengan Sarawak, Semenanjung patut memberi contoh keharmonian antara kaum.

Kerajaan Persekutuan perlu bukan sekadar wujudkan tetapi mengartikulasikan sebuah falsafah nasional di mana negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak boleh setuju dan rasa ia darah dagingnya.Tanpa falsafah nasional, rakyat majmuk sukar menghayati roh rakyat

Malaysia. Menyedari maslahat falsafah nasional itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek mengemukakan subjek falsafah yang mendidik semua mahasiswa untuk mengartikulasikan idea rakyat Malaysia secara falsafah.

Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak mencadangkan Falsafah Sejahtera sebagai falsafah nasional. Falsafah itu berlandaskan Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Kedua-dua Rukun Negara dan FPK adalah hasil selepas penubuhan Malaysia 1963 dan sudah di persetujui semua.

Jika masih ada suara yang menentang Rukun Negara dan FPK, maka itu petanda wujud gerakan yang sengaja memporak-perandakan negara Malaysia untuk menegakkan agenda tertentu.

***Abdul Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis UIAM