Belanjawan Terengganu martabatkan agama Islam

Ahmad Samsuri (tengah) menyaksikan majlis menandatangani dokumen usahasama KKYT bersama badan dan agensi kerajaan.
Ahmad Samsuri (tengah) menyaksikan majlis menandatangani dokumen usahasama KKYT bersama badan dan agensi kerajaan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Belanjawan Terengganu 2020 yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), berlangsung pada 24 hingga 28 November depan, memberi fokus terhadap empat teras utama termasuk memartabatkan agama Islam di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain memperkukuh dan memartabatkan agama Islam, tiga lagi teras utama dalam belanjawan itu ialah memacu kemajuan ekonomi rakyat, melestarikan kehidupan sejahtera dan membangunkan modal insan.

"Ini antara teras utama dalam Belanjawan Terengganu 2020 yang kini sedang dirangka dan akan dibentangkan pada tarikh yang ditetapkan.

"Kita harap ia akan memberikan sesuatu yang positif kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian dan menandatangani dokumen usahasama Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) bersama badan serta agensi kerajaan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Sabtu lalu dilihat sebagai satu yang positif.

“Berdasarkan apa yang dibentangkan, negeri ini termasuk antara negeri yang akan diberikan fokus oleh Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan inisiatif tersebut.

“Jadi, kita akan berhubung dengan Putrajaya untuk memastikan apa yang dirancang itu akan sampai ke Terengganu,” katanya.

Artikel Berkaitan: