'Dah langgar, tak mahu berhenti pula'

Paparan gambar video pemandu yang didakwa melanggar sebuah kereta di Lebuhraya Sungai Besi, Jumaat lalu tular di laman Twitter.
Kanan: Antara komen netizen yang mengecam tindakan lelaki tersebut.
Paparan gambar video pemandu yang didakwa melanggar sebuah kereta di Lebuhraya Sungai Besi, Jumaat lalu tular di laman Twitter. Kanan: Antara komen netizen yang mengecam tindakan lelaki tersebut.
A
A
A

SUNGAI BESI - Tindakan seorang pemandu pacuan empat roda yang enggan memberhentikan kenderaannya selepas didakwa melanggar kenderaan lain di Lebuhraya Sungai Besi di sini, Jumaat lalu dikecam netizen berikutan tindakannya disifatkan kurang ajar.

Kejadian itu tular selepas pemandu yang dilanggar Mitsubishi Triton tersebut memuat naik video berkenaan dan sehingga kini meraih 11,200 ulang kicau dengan 5,200 tanda suka.

Pemandu tersebut yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 25, berkata, kejadian berlaku ketika sedang memandu di lebuh raya dan memberikan isyarat untuk masuk ke lorong kanan, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kuala Lumpur ke rumahnya di Puchong.

"Saya bukan 'main' masuk saja ke lorong kanan tetapi saya dah bagi isyarat ke kanan banyak kali tetapi bila saya ke depan, dia pun nak cepat ke depan juga.

"Bila kereta di hadapannya dah jauh, saya masuk ke kanan tetapi dia rasa tak puas hati sebab saya berada di hadapan dia sebelum kereta saya dihimpit ke kiri dan terlanggar bahagian hadapan kereta saya," katanya kepada Sinar harian ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, dia turut memberi penjelasan mengenai komen ditinggalkan netizen yang mempertikaikan tindakannya merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit ketika memandu sebagai satu kesalahan.

Menurutnya, jika dia memberhentikan kenderaan serta-merta, individu melanggar kenderaannya pasti memecut dan dia tidak akan dapat sebarang bukti untuk dilaporkan kepada pihak polis.

"Isu sebenarnya adalah sikap, kenapa dia bertindak kurang ajar dan tak nak berhenti untuk berbincang? Kalau dia berhenti, mungkin lebih baik dan boleh mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan masalah itu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya terpaksa buat rakaman untuk dapatkan nombor plat keretanya untuk jadi bukti disebabkan dia tak mahu berhenti. Bila saya pintas kereta dia dan saya keluar, dia dengan melulu pergi begitu sahaja," katanya.

Ahmad yang juga seorang eksekutif di sebuah syarikat telah membuat laporan di Balai Polis Seri Petaling pada Sabtu lalu supaya siasatan dapat dijalankan pihak terlibat.