Polis tahan dua rakan mangsa tembak

Laporan Sinar Online berhubung kejadian tersebut semalam. Gambar kecil; Narenasagaran
Laporan Sinar Online berhubung kejadian tersebut semalam. Gambar kecil; Narenasagaran
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan dua rakan mangsa yang cedera ditembak individu tidak dikenali di hadapan Apartmen Kelisa di Taman Inderawasih awal pagi semalam untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, lelaki berusia 29 dan 26 tahun itu ditahan semalam untuk mengetahui motif sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan bermotifkan dendam, dadah atau kongsi gelap berikutan mangsa mempunyai rekod dadah.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit direman sehingga 9 Oktober ini memandangkan kedua-duanya dipercayai berada bersama mangsa ketika kejadian.

"Selain itu, semakan nombor plat kedua-dua kereta tersebut iaitu Proton Waja dan Perodua Myvi mendapati menggunakan nombor plat palsu. Kedua-duanya menggunakan nombor motosikal," katanya pada sidang media selepas program Penang Heart Safe with PDRM yang turut dihadiri Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Narenasagaran berkata, polis juga sedang menyiasat senjata api digunakan suspek berikutan kelongsong peluru belum ditemui di tempat kejadian.

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang lelaki cedera di lengan dan perut selepas ditembak individu tidak dikenali di hadapan Apartmen Kelisa di Taman Inderawasih di sini.

Dalam kejadian jam 2.08 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun sedang berbual bersama empat rakannya di hadapan apartmen berkenaan sebelum sebuah kereta Proton Waja lalu di depan mereka.

Selang beberapa minit, kereta itu sekali lagi ke kawasan berkenaan dalam keadaan laju menyebabkan beberapa rakan mangsa bertindak mengejar kereta tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mangsa turut mengejar Proton Waja tersebut sebelum hilang dan kemudiannya sebuah Perodua Myvi memintas mangsa dan penumpang hadapan kereta terbabit melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cedera ditembak individu tidak dikenali