Terengganu terima RM1.28 bilion royalti pada 2020

Ahmad Samsuri
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu dijangka menerima bayaran wang royalti atau wang tunai petroleum (WTP) sebanyak RM1.28 bilion pada tahun 2020.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, angka yang dianggarkan itu adalah realistik berdasarkan pengiraan harga minyak dunia pada kadar USD60 setong.

“Kita anggarkan jumlah yang sama diterima tahun ini dengan mengambil kira nilaian semasa harga minyak dunia, kalau harga minyak naik kita akan dapat lebihan daripada bajet kita, kalau harga minyak turun kita akan dapat kurang.

“Secara keseluruhan pada 2019 jumlah royalti minyak yang sepatutnya kita terima sebanyak RM1.28 bilion,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) di sini hari ini.

Dalam pada itu ditanya harapan sempena Belanjawan 2020 nanti, katanya beliau berharap kerajaan Pusat terus membayar wang royalti minyak kepada Terengganu sebagaimana termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani pada 1974.

Selain itu katanya, pihaknya juga berharap agar Kerajaan Pusat turut memberi fokus kepada pembangunan negeri ini.

“Antara yang kita mohon kepada kerajaan Pusat ialah untuk selesaikan masalah hakisan di negeri ini, pembinaan jambatan, isu berkaitan projek perumahan, sistem saliran, pembinaan hospital dan beberapa perkara lagi,” katanya.

Berdasarkan rekod Kerajaan Terengganu menerima WTP sebanyak RM193.1 juta yang dibayar pada Januari lalu namun ia adalah WTP yang sepatutnya diterima pada tahun 2018 dan telah ditolak Kementerian Kewangan bagi hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat sebanyak 25 peratus.

Selain itu Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan sudah membuat pembayaran secara terus wang royalti sebanyak tiga kali berjumlah RM450 juta pada tahun ini.

Sepanjang tahun 2018 pula Kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM1.05 bilion Wang Tunai Petroleum (WTP) secara berperingkat kepada Kerajaan Terengganu.

Sebanyak RM603 juta dibayar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu pada 10 April 2018, RM100 juta (21 Ogos 2018), RM200 juta (8 Oktober 2018) dan RM150 juta (12 Disember 2018).

Bagaimanapun jumlah itu lebih rendah berbanding anggaran RM1.4 bilion hasil petroleum dan gas seperti dibentangkan menerusi Belanjawan Terengganu 2018.