Mangsa gempa Maluku takut pulang ke rumah

Penduduk di Ambon Pulau Maluku Indonesia berkumpul di luar rumah susulan gempa bumi 6.5 magnitud pada 26 September lalu. - Foto AFP
A
A

JAKARTA - Ribuan warga Indonesia masih menetap di pusat perlindungan setelah hampir dua minggu gempa bumi kuat melanda pulau Maluku.

Ramai mangsa dilaporkan takut untuk pulang ke rumah masing-masing di kepulauan itu selepas kawasan berkenaan mengalami lebih 1,000 gempa susulan ekoran gempa bumi berkekuatan 6.5 magnitud pada 26 September lalu yang meragut puluhan nyawa dan merosakkan kediaman serta bangunan.

Kebimbangan berhubung gempa susulan diburukkan lagi dengan berita palsu terutama di aplikasi WhatsApp yang mengatakan gempa berserta tsunami bakal berlaku.

"Terpulang kepada anda mahu percaya atau tidak namun saya bercakap dengan saudara saya dan nampaknya Ambon akan tenggelam dalam masa beberapa hari," kata satu mesej yang tersebar di laman WhatsApp.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Agus Wibowo berkata, kewujudan berita palsu itu memburukkan lagi keadaan.

"Terdapat begitu banyak berita palsu tentang gempa bumi dan tsunami lebih besar.

"Orang ramai yang ketakutan memilih untuk tinggal di pusat perlindungan, malah ramai yang berfikir mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah ketika darurat sedangkan ia tidak benar sama sekali," kata Wibowo sambil menambah penduduk yang rumah mereka terselamat daripada kesan gempa juga enggan pulang meskipun diyakinkan keadaan selamat.

Gegaran kuat pada 26 September lalu itu dilaporkan membunuh 37 mangsa termasuk beberapa kanak-kanak dan mencederakan berpuluh yang lain.

Sementara itu angka rasmi menunjukkan lebih 6,000 kediaman rosak akibat gempa.

Kerajaan tempatan dilaporkan mengisytiharkan darurat sehingga Rabu dengan hampir 135,000 orang masih berada di pusat pemindahan dan khemah. - AFP