Sindiket judi dalam talian tumpas

Noor Azmi menunjukkan barang yang dirampas.
Noor Azmi menunjukkan barang yang dirampas.
A
A
A

AMPANG - Sindiket perjudian dalam talian tumpas selepas polis menyerbu sebuah banglo di sini yang dijadikan sebagai pusat operasi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, sindiket terdiri daripada 41 lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 17 hingga 35 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada jam 5.40 petang.

"Kita turut merampas pelbagai peralatan antaranya 28 set komputer riba, 50 unit telefon bimbit, dua unit modem dan dua unit router yang digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian," katanya pada sidang media di sini tadi.

Noor Azmi berkata, siasatan mendapati premis yang disewa dengan kadar RM18,000 sebulan oleh sindiket berkenaan dijadikan pusat panggilan untuk tujuan pertaruhan.

"Sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi seminggu, mereka menjalankan aktiviti promosi judi dalam talian tanpa lesen yang berpusat di China.

"Kita sedang mengesan dalang sindiket berkenaan yang dikenali sebagai Xiang Cher," katanya.

Kesemua individu itu direman 14 hari sehingga 17 Oktober ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63, 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 atas kesalahan menjalankan judi dalam talian dan tiada dokumen serta permit kerja yang sah.

Artikel Berkaitan: