X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir jelaskan kenapa tol tidak boleh dimansuh serta-merta

Dr Mahathir Mohamad - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kenyataan beliau semalam mengenai Pakatan Harapan (PH) tidak berjanji menghapuskan tol sebagai merujuk kepada perkara enam dalam manifesto mereka iaitu ia tidak akan dilakukan secara serta-merta.

Berdasarkan kajian, katanya, kerajaan terpaksa berbelanja puluhan bilion ringgit untuk mengambil alih lebuh raya bertol serta-merta dan jika berjaya tugas penyelenggaraan juga akan memerlukan dana yang besar.

"Apabila saya kata kita tidak janji hapus tol, saya merujuk kepada manifesto yang menyatakan ia tidak akan dilakukan serta-merta.

"Manifesto kita mengandungi ayat berikut, kerajaan PH akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dr Mahathir berkata, PH tidak pernah berjanji untuk menghapuskan tol tetapi ia telah dianggap sebagai sebahagian manifesto gabungan parti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Teliti dahulu manifesto sebelum berjanji: Dr Mahathir

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah berhutang trilion ringgit dan ia perlu dibayar supaya Malaysia tidak muflis.

"Pembayaran faedah hutang dan hutang pokok menelan berbilion ringgit. Apabila dibayar, dana kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastruktur yang penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan lebuh raya ditambah kepada operasi dan pembangunan kerajaan.

"Setelah dikaji, kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek oleh rakyat jika dibebani dengan penyelenggaraan lebuh raya," katanya.

Katanya, berdasarkan kepada kajian mendalam juga, pemansuhan tol segera tidak boleh dilakukan kerana memerlukan pembelian oleh kerajaan.

"Masa diperlukan untuk mengurang beban rakyat kerana menghapuskan tol tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul.

"Jika ada (pihak) swasta yang akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus