Neelofa menang Anugerah Usahawan di Monaco

A
A
A

PENGACARA, pelakon dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor berjaya menggondol Anugerah Usahawan di Influencer Awards 2019 yang berlangsung di Monte Carlo, Monaco semalam.

Neelofa berkata, beliau berasa sangat teruja diiktiraf menerusi anugerah berkenaan memandangkan setiap pemenang telah dipilih oleh juri dan calon-calon setiap kategori daripada seluruh dunia.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan teruja menerima anugerah ini.

“Memandangkan pemilihan setiap penerima anugerah dibuat berdasarkan penilaian juri dari New York, Los Angeles, Perancis dan negara Timur Tengah, ia membuatkan anugerah ini bertambah istimewa,” katanya.

Menurut Neelofa, bisnes hijab, Naelofar yang diusahakan sejak 2014 dan keutamaannya terhadap modest fashion telah membuka peluang untuknya mengembara dan memperkenalkan Malaysia ke persada dunia.

“Saya sendiri tidak sangka diberikan pengiktirafan sebegini rupa. Bermula dengan perniagaan kasut secara kecil-kecilan di rumah membawa kepada kewujudan jenama Naelofar, pengiktirafan ini merupakan titik tertinggi dalam karier bisnes saya setakat ini.

“Sejujurnya saya berasa sangat bertuah memandangkan bisnes hijab ini mampu menjadi platform buat saya memperkenalkan negara kita dan modest fashion kepada orang luar,” ujarnya

Influencer Awards 2019 Monaco merupakan penganjuran kedua selepas diadakan dengan jayanya pada tahun lalu. Lebih 100 influencer media sosial seluruh dunia dijemput, bukan sahaja kalangan influencer fesyen, malah mereka yang dikenali ramai dalam bidang keusahawanan, penjenamaan dan selebriti.

Artikel Berkaitan:

Anugerah ini direalisasikan oleh Pauline Ducruet iaitu anak sulung kepada Puteri Monaco, Puteri Stephanie dan beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.

Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober 2018 di Hotel Meridien Beach Plaza, Monte Carlo. Sebanyak 27 anugerah telah diserahkan pada majlis tersebut.

Antara pemenang pada majlis tersebut termasuklah blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Lifestyle) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Make-Up Artist influencer).