Felda tak kompromi kakitangan, peneroka bunuh gajah pygmy

Kenyataan Felda mengenai kakitangan dan peneroka didapati bersalah dalam insiden menembak mati gajah pygmy di Tawau baru-baru ini.
Kenyataan Felda mengenai kakitangan dan peneroka didapati bersalah dalam insiden menembak mati gajah pygmy di Tawau baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Felda tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya kakitangan dan peneroka didapati bersalah dalam insiden menembak mati gajah pygmy di Tawau baru-baru ini.

Felda dalam kenyataan hari ini mengesahkan seorang pegawai dan dua peneroka Felda ditahan berhubung kejadian berkenaan dan pihaknya kini bekerjasama rapat dengan polis dalam membantu siasatan yang masih lagi berjalan.

“Pihak pengurusan Felda sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan akan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya sekiranya kakitangan dan peneroka didapati bersalah dalam insiden berkenaan.

“Kami ingin menegaskan perbuatan membunuh haiwan berkenaan adalah bertentangan sama sekali dengan Dasar Perlindungan Dan Penjagaan Alam Sekitar yang merupakan sebahagian daripada 15 Polisi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang menjadi amalan Felda,” katanya.

Menurut kenyataan itu Felda juga menjelaskan pihak pengurusan mereka melaksanakan amalan prosedur standard (SOP) dalam aspek kawalan hidupan liar termasuk gajah yang sering berlaku di kawasan mereka.

“Ini melibatkan penggunaan pagar elektrik dan juga parit gajah serta amalan pemindahan gajah jika diperlukan tanpa mengancam nyawanya.

“Felda juga secara aktif menjalin kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dalam menyediakan latihan dan seminar kepada petugas untuk meningkatkan kemahiran dan kesiagaan dalam menangani ancaman hidupan liar di ladang,” katanya.

Katanya, Felda sentiasa mematuhi semua garis panduan dan undang-undang berkaitan pemeliharaan alam sekitar sebagai manifestasi komitmen dalam memastikan aspek pengurusan ladang dilaksanakan secara lestari.

Artikel Berkaitan:

“Ini dapat dibuktikan di mana sehingga kini, 163 rancangan Felda telah berjaya mendapat pensijilan MSPO setelah memenuhi aspek-aspek akreditasinya termasuk pematuhan kepada polisi berkaitan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Rabu lalu enam suspek ditahan dipercayai dalam Ops Khazanah di kawasan Felda Umas dan Ladang Dumpas kerana dipercayai terlibat dalam pembunuhan gajah pygmy dan pengambilan gading secara haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Reman suspek bunuh gajah Pygmy disambung

Ganjaran wang tunai RM30,000 kepada pemberi maklumat