22 mangsa keracunan makanan masih dirawat di hospital

Seramai 22 peserta Kongres Maruah Melayu yang mengalami keracunan makanan semalam masih dirawat di tiga hospital. - Foto Ihsan Jabatan Kesihatan Selangor (Gambar kecil: Khalid)
Seramai 22 peserta Kongres Maruah Melayu yang mengalami keracunan makanan semalam masih dirawat di tiga hospital. - Foto Ihsan Jabatan Kesihatan Selangor (Gambar kecil: Khalid)
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 22 mangsa masih dirawat di hospital akibat keracunan makanan sewaktu menghadiri Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 20 mangsa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang manakala seorang lagi di Hospital Serdang.

Menurutnya, baki lagi seorang mangsa pula ditempatkan di wad pemerhatian Hospital Selayang.

"Sehingga jam 10 pagi tadi, terdapat 22 mangsa masih ditempatkan di wad manakala yang lain telah dibenarkan keluar.

"Semua dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 118 individu yang menyertai Kongres Maruah Melayu mengalami keracunan makanan selepas mengambil hidangan dipercayai disediakan oleh penganjur.

Kebanyakan mangsa difahamkan terdiri daripada penuntut universiti yang menghadiri kongres itu.

Mengulas lanjut Khalid berkata, buat masa ini pihaknya sedang berhubung dengan penganjur bagi mengenalpasti katerer yang terlibat dengan penyediaan makanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan melawat tempat penyediaan makanan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 118 peserta Kongres Maruah Melayu keracunan makanan

Nasi lemak jadi punca keracunan peserta KMM?