Enam jam terkandas di laut

Anggota APMM Johor menyelamatkan mangsa yang terkandas di laut selama enam jam.
Anggota APMM Johor menyelamatkan mangsa yang terkandas di laut selama enam jam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai enam lelaki yang ingin memancing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka rosak sebelum dihanyutkan ke perairan Tanjung Piai Pontian semalam.

Difahamkan kesemua mangsa yang berusia 25 hingga 50 tahun dari Kampung Pendas Gelang Patah itu terkandas di laut selama enam jam sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rasid berkata, bot gentian kaca berukuran 27 kaki panjang dinaiki kesemua mangsa itu ditemui peronda bertugas di kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Tanjung Piai.

"Apabila tiba anggota APMM Johor cuba membaiki kerosakan pada enjin bot berkenaan namun gagal disebabkan keadaan cuaca dan laut bergelora selain tidak mempunyai peralatan yang cukup.

“Kesemua mangsa akhirnya dibawa pulang ke darat menaiki bot APMM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya juga menerima bantuan daripada nelayan tempatan untuk menunda bot mangsa ke Jeti Kampung Pendas.

“Pihak kami dimaklumkan bot tersebut tiba-tiba mengalami kerosakan pada bahagian enjin dan mula hanyut di perairan berkenaan tanpa kawalan.

“Ketika diselamatkan kesemua mangsa dilihat begitu lega kerana keadaan telah menjadi panik akibat cuaca buruk dan ombak yang kuat,” katanya.

Artikel Berkaitan: