Bekas CEO SSM, anak dituduh rasuah lagi

Zahra dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan rasuah hari ini.
Zahra dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan rasuah hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Selepas menghadapi 37 pertuduhan rasuah minggu lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan didakwa lagi dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Zahrah, 60, didakwa bersubahat dengan Abdulazeez yang menerima suapan RM200,000 daripada Samhan Adnan pada 18 Mei 2018 secara deposit ke dalam akaunnya di Maybank Islamic Berhad cawangan Menglembu di sini.

Tindakan itu sebagai upah kepada Abdulazeez bagi memastikan Zahrah sebagai CEO SSM meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan 'Preference Shareholder' Syarikat Ace Holding Berhad bertarikh 19 April 2018.

Pertuduhan kedua pula, Zahrah didakwa bersubahat dengan Abdulazeez yang menerima suapan RM50,000 daripada individu sama pada 25 Mei tahun lalu secara deposit ke dalam akaun yang sama dengan tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan tersebut merupakan kesalahan di bawah Subseksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Subseksyen 16 (a)(A) dan Subseksyen 24 (1) akta sama.

Sementara itu, Abdulazeez dalam pertuduhan pertama didakwa menerima suapan RM200,000 daripada Samhan Adnan secara deposit ke dalam akaun Maybank miliknya pada 18 Mei 2018 di Maybank Islamic Berhad cawangan Menglembu, di sini sebagai upah untuk memastikan Zahrah meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan 'Preference Shareholder' Syarikat Ace Holding Berhad bertarikh 19 April 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Abdulazeez didakwa menerima suapan RM50,000 daripada individu sama pada 25 Mei tahun lalu sebagai upah untuk tujuan sama.

Tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24 (1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau didenda lima kali ganda nilai suapan atau yang mana lebih tinggi.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta kes dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahidah Jalaluddin kemudian memohon kepada Hakim, S Indra Nehru supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan serentak dengan 37 pertuduhan dengan mengambil kira Seksyen 64 Akta SPRM 2009 memandangkan ia melibatkan saksi sama dan tempoh waktu berlaku.

Indra Nehru membenarkan permohonan itu dan menetapkan tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh yang diwakili empat peguam bela iaitu Shahir Abdul Razak, Syaiful Nazrin Mohd Rahim, Mohd Faizal Mohd Aris dan Dorina Abdullah memandangkan kes tersebut dipindahkan.

Pada 2 Oktober lalu, Zahrah dan Abdulazeez masing-masing dikenakan 33 dan empat pertuduhan rasuah melibatkan RM5.7 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas CEO SSM didakwa terima rasuah RM5.7 juta