Sarawak akan ukur tanah NCR sehingga selesai

Amar Douglas Uggah Embas
A
A

SIBU - Kerajaan Sarawak akan meneruskan kerja-kerja pengukuran tanah adat bumiputera (NCR) yang dianggarkan berjumlah 1.5 juta hektar sehingga selesai demi menjaga hak dan kepentingan rakyat walaupun terdapat pihak tertentu cuba menggagalkannya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha yang dibuat sejak tahun 2010 itu akan dipercepatkan lagi.

Menurutnya, sehingga 31 Julai tahun ini lebih 890,308 hektar sudah berjaya diukur secara perimeter dan daripada jumlah itu lebih 728,434 hektar telah pun diwartakan dan memberi manfaat kepada kira-kira 1.03 juta rakyat negeri ini.

Selain itu katanya, lebih 34,957 hektar sudah selesai diukur mengikut lot tanah individu yang melibatkan 28,235 lot tanah. Sebanyak 11,889 Surat Hak Milik telah diserahkan kepada pemilik.

“Usaha ini akan diteruskan dan dipergiatkan lagi. Program ini amat menguntungkan masyarakat Bumiputera dan bukan merugikan sebagaimana yang dikatakan oleh setengah pihak yang mungkin mempunyai niat tersembunyi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Forum Kanun Tanah (Pindaan) 2018 malam tadi.

Seramai 400 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum dari Bahagian Sibu, Mukah, Kapit dan Sarikei menghadiri forum itu yang bermula hari ini.

Uggah berkata, terdapat pihak tertentu cuba mempengaruhi pemilik-pemilik tanah NCR di negeri ini supaya tidak membiarkan kerajaan menyukat tanah mereka di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak kononnya tanah mereka akan dirampas kerajaan.

“Daripada tanah NCR yang telah disukat menggunakan Seksyen 6, tidak ada satu ekar (0.4 hektar) pun dirampas kerajaan seperti mana yang dituduh. Tuduhan ini adalah tidak berasas sama sekali, kalau kerajaan nak gunakan tanah NCR untuk pembangunan bagi kepentingan umum, pemilik tanah akan dibayar pampasan setimpal,” katanya.

Katanya, kerajaan telah mencabar pihak tersebut supaya membuktikan tanah-tanah yang disukat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak telah dirampas kerajaan tetapi sehingga ke hari ini mereka gagal mengemukakan bukti.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Sarawak kerana majoriti mereka menyokong dan memberi kerjasama kepada kerajaan dalam melaksanakan program pengukuran tanah NCR di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membiayai program pengukuran tanah NCR di negeri ini.

Sehubungan itu beliau meminta ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum supaya menyampaikan maklumat-maklumat yang diperoleh sepanjang forum berkenaan kepada anak-anak buah masing-masing bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan pembohongan besar pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama