Melaka tak akan biarkan masalah air berulang: KM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Berakhir episod masalah bekalan air di Melaka menyebabkan 25,167 daripada 305,000 akaun pengguna terjejas pada 18 September lepas, mata rakyat kini tertumpu kepada perancangan kerajaan negeri dan Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) memastikan ia tidak menjadi 'acara tahunan'.

Diajukan soalan ini kepada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, beliau menegaskan, rakyat tidak seharusnya dibebankan lagi dengan masalah bekalan air pada masa akan datang dan telah merangka pelbagai pelan selain menambah baik mekanisme sedia ada bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat.

Tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, beliau berkata, isu gangguan bekalan air yang berakhir pada 30 September lepas adalah disebabkan sumber air tidak cukup yang mana sepatutnya dilihat lebih awal sewaktu Melaka menuju ke arah negeri maju dan negeri pelancongan.

Beliau menjelaskan usaha membangunkan Melaka sebagai negeri maju dan mempromosi Melaka sebagai negeri pelancongan sepatutnya seiring dengan keupayaan sumber air bagi menampung kapasiti penggunaan air oleh penduduk dan pelancong di negeri ini.

"Ia (gangguan) dipengaruhi pelbagai faktor antaranya taburan hujan rendah, pertambahan penduduk dan kedatangan pelancong semakin ramai.

"Bagaimanapun ini bukan alasan, kerajaan negeri komited dalam menangani isu bekalan air dengan mengambil beberapa langkah kontingensi," katanya.

Untuk rekod, pada 18 September lepas Melaka mengalami penurunan 13.9 peratus bekalan air terawat yang menyebabkan gangguan itu, dengan permintaan 639 juta liter sehari bagaimanapun hanya 550 juta liter air terawat sehari dapat dibekalkan SAMB.

Adly berkata, Melaka menerima bekalan air dari negeri jirannya iaitu 220 juta liter sehari dari Muar, Johor dan 1.7 juta liter sehari dari Negeri Sembilan yang mana jumlah tambahan akan dipohon sekiranya ada keperluan mendesak seperti musim kemarau.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau menegaskan, Melaka tidak boleh selamanya bergantung kepada negeri jirannya untuk bekalan air, justeru beberapa langkah telah diambil antaranya menyegerakan perlaksanaan projek takungan air di luar sungai (ORS) di Tasik Biru, Jasin dan Empangan Jernih di Alor Gajah.

"Pada masa ini juga usaha giat sedang dilakukan bagi memastikan bekalan air di empangan negeri ini antaranya di Durian Tunggal dan Jus dapat ditingkatkan menerusi pemindahan atau pengepaman air dari Sungai Gersik di Johor dan Tasik Biru," katanya.

Salah satu langkah jangka panjang yang menarik perhatian ialah menghijaukan kawasan tadahan air di Melaka dengan pokok hutan, justeru Adly berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak terlibat supaya menukar pokok kelapa sawit di kawasan itu dengan pokok hutan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ini.

"Berbeza dengan pokok hutan, pokok kelapa sawit memerlukan air yang banyak untuk hidup, dianggarkan keperluan sama dengan seorang manusia dan ini menyebabkan kadar penggunaan air di kawasan itu tinggi yang seterusnya membuatkan kawasan itu gagal menadah air secara berkesan.

"Penggunaan air yang tinggi di kawasan bandar juga mencetus langkah kerajaan negeri bagi melaksana inisiatif seperti menjadikan air laut sebagai sumber bekalan air yang telah dilaksana di negara maju, dan mungkin dapat dilaksana di negeri ini dalam tempoh maksimum 50 tahun," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga kini sedang mengkaji semula penggunaan air sungai terutamanya di Sungai Duyong dan Sungai Malim sebagai satu daripada sumber air mentah negeri khususnya di kawasan bandar.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli juga kini sedang mengkoordinasi pelan pengurusan air negeri ini bagi memastikan sumber air mentah mencukupi dan ditadah serta disimpan sebaiknya khususnya pada musim tengkujuh.

SAMB baru-baru ini dianugerah 'Malaysia Outstanding Water Award For Management 2019' dan ‘Malaysia Outstanding Water Award For Research 2018' tahun lepas daripada Persatuan Air Malaysia (MWA), justeru SAMB dilihat mampu melaksana pelbagai usaha direncanakan bagi memastikan gangguan air tidak berulang. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan air di Melaka pulih