‘Selamatkan projek PGBF’

Naraza
Naraza
A
A
A

KUANTAN - Peneroka Felda berharap kerajaan menyuntik dana khas sebanyak RM1 bilion bagi menyelesaikan projek pembinaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Malaysia.

Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Naraza Muda berkata, dana itu bagi membolehkan PGBF yang terbengkalai dapat disiapkan sekali gus mencapai sasaran untuk mewujudkan 20,000 unit rumah kepada generasi kedua Felda.

Menurutnya, dalam bajet tahun lalu kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi menyelesaikan PGBF yang mencapai 70 peratus siap.

“Kita mahu kerajaan beri tumpuan bukan sahaja projek 70 peratus siap sebaliknya mencapai sasaran pembinaan PGBF secara keseluruhan.

“Setakat hari ini, kira-kira 8,000 unit rumah sahaja yang berjaya dibina dan ada yang terbengkalai serta perlu diselesaikan segera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Naraza juga mahu kerajaan memberi potongan 50 peratus hutang peneroka Felda kerana ia adalah hutang yang diragui.

Beliau berkata, kerajaan diharapkan dapat membuka pasaran baru dalam penjualan minyak mentah dalam usaha meningkatkan tahap pengeluaran sawit.

Jelasnya, Malaysia masih belum dapat bersaing dengan negara Indonesia yang mampu mengeluarkan 42,000 juta tan metrik minyak.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikut rekod tahun 2018, negara hanya mampu mengeluarkan kira-kira 20,000 juta tan metrik sahaja. Justeru, kerajaan perlu mengambil inisiatif bagi memajukan sektor ini,” katanya

Selain itu, Naraza turut meminta agar kerajaan memberi wang secara sekali gus sebagai inisiatif kepada peneroka untuk meneruskan kehidupan sewaktu harga buah sawit merudum.