Agihan kekayaan melalui subsidi

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

MENGURUSKAN subsidi memang rumit dan kompleks. Di satu pihak, benar apa yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemberian terlalu banyak subsidi menjadikan rakyat Malaysia malas dan menyebabkan golongan itu kurang berdaya saing.

Di satu sisi lain pula, subsidi akan membebankan kewangan kerajaan. Kerajaan perlu melantik sekumpulan kakitangan untuk memikir dan merancang mekanisme pelaksanaan subsidi.

Ia bukan sahaja melibatkan inter-jabatan dalam sesuatu kementerian tetapi selalunya melibatkan inter-kementerian.

Subsidi kerajaan dilaksanakan untuk mencapai beberapa tujuan strategik. Subsidi tidak semestinya dalam bentuk tunai atau barangan kepada rakyat. Ada subsidi baja yang disasarkan untuk petani, subsidi diesel untuk nelayan, Bantuan Sara Hidup (BSH) dalam bentuk tunai terus kepada golongan B40 dan subsidi dalam bentuk kawalan harga seperti harga petrol dan LPG.

Secara keseluruhan, subsidi bertujuan meringankan beban rakyat dan inilah method paling sesuai dalam pengagihan kekayaan secara saksama.

Tidak semua rakyat menghargai subsidi yang diberikan. Yang lebih malang adalah apabila subsidi disalahgunakan.

Satu lagi masalah besar dihadapi ialah subsidi tidak dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasaran. Ia mungkin penyebab merebaknya mentaliti subsidi seolah-olah subsidi itu hak rakyat dan ia kekal biarpun kerajaan menghadapi gawat fiskal akut.Dalam kes subsidi petrol RON95, berdasarkan harga minyak mentah sedunia dan sistem apungan Mekanisme Harga Automatik (APM), sepatutnya harga RON95 di pam sekitar RM2.38 seliter berbanding harga runcit bersubsidi sekitar RM2.08.

Bermakna kerajaan beri subsidi 30 sen bagi setiap liter petrol.

Artikel Berkaitan:

Jumlah penggunaan petrol RON95 di Malaysia dilaporkan sekitar 14.4 bilion liter setahun.

Bermakna subsidi ditanggung kerajaan untuk RON95 sahaja RM4.32 bilion setahun. Persoalannya, apakah subsidi itu benar-benar sampai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia yang disasarkan?

Tangki kereta

Kita ambil contoh golongan berpendapatan rendah atau B40. Berapa ramai yang memiliki kereta dan motosikal? Kalaupun mempunyai kereta, majoriti memiliki kereta jenis kompak berkapasiti di bawah 1.5 liter. Berapa besarlah tangki motosikal dan tangki kereta kompak itu?

Berapa banyak petrol RON95 yang digunakan golongan B40 setiap kali mengisi penuh tangki kereta mereka? Kita andaikan 30 liter untuk mudahkan pengiraan. Sekali isi penuh, golongan B40 mengeluarkan RM62.04.

Katakanlah mereka isi satu tangki penuh seminggu. Bermakna sebulan mereka belanjakan RM249.60 untuk RON95. Daripada RM249.60, kerajaan bayar subsidi RM36.00 sebulan.

Bayangkan pula senario kedua. Golongan kaya yang memiliki kereta mewah 1.8 liter ke atas. Cuba hitung berapakah penggunaan petrol mereka jika turut menggunakan petrol RON95?

Tangki minyak sebuah kereta mewah paling kurang 70 liter.

Kesan pelaksanaan subsidi.
Kesan pelaksanaan subsidi.

Setiap kali kereta mewah diisi penuh, orang kaya itu berbelanja RM145.60. Dia guna 280 liter sebulan atau RM582.40 sebulan. Bermakna orang kaya tersebut guna subsidi RON95 daripada kerajaan sebanyak RM84.00. Itu satu kereta. Kalau dua atau lebih? Jadi siapa sebenarnya yang lebih menikmati subsidi RON95?

Pendapatan sektor pelancongan memang bagus tetapi pelancong Singapura, Thailand dan negara lain membeli barang yang sebahagiannya bersubsidi.

Itu bermakna mereka mengambil ‘wang’ yang diperuntukkan kepada rakyat Malaysia dalam bentuk subsidi.

Petrol RON95 adalah salah satunya. Kenderaan orang Thailand yang biasanya jenis SUV dan 4WD dan pelawat Singapura selalunya berkereta mewah. Tentunya mereka turut menikmati harga RON95 yang bersubsidi.

Menurut Iskandar Regional Development Authority, jumlah kenderaan yang keluar masuk Johor adalah 400,000 sebulan.

Itulah salah satu faktor kebocoran dalam pemberian dan penggunaan subsidi kerajaan melalui barangan harga subsidi.

Kerajaan harus bijak dalam pelaksanaan subsidi terutama dalam bentuk pengawalan harga barang terkawal seperti beras, tepung, minyak masak dan RON95 supaya benar-benar sampai kepada golongan sasar.

***Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna