Singapura gantung import telur puyuh Malaysia, dakwa ada sisa dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Singapura mengambil langkah menggantung pengimportan telur puyuh dari sebuah ladang penternakan di Malaysia berikutan penemuan sisa dadah jenis nicarbazin.

Memetik laporan Channel News Asia, Agensi Makanan Singapura (SFA) menjelaskan dadah berkenaan dikesan pada telur puyuh dari sebuah ladang di Malaysia.

Kata SFA, dadah nicarbazin yang digunakan untuk mencegah burung daripada bertelur atau menyebabkan burung menghasilkan telur yang tidak boleh menetas, dikesan dalam telur puyuh berkenaan bulan lalu.

Nicarbazin juga digunakan bagi menghalang jangkitan penyakit parasit dalam ternakan unggas.

Pekeliling berkenaan penggantungan tersebut sudah dipaparkan pada pada laman web SFA pada 30 September lalu.

“Penggantungan tersebut berkuat kuasa sehingga SGA mendapat pengesahan bahawa ladang itu mengambil langkah bagi memastikan telur mereka yang dikeluarkan tidak mengandungi sisa dadah dan selamat untuk dimakan,” kata SFA.

Tahun lalu, Singapura mengimport kira-kira 17 juta telur puyuh segar dari ladang berkenaan yang merupakan 20 peratus daripada bekalan yang diperlukan negara tersebut.

SFA juga berkata, selain mendapatkan bekalan telur puyuh dan sudah diproses daripada penternak tempatan, Singapura juga mendapatkan bekalan dari beberapa negara seperti Malaysia, China, Taiwan dan Vietnam.

Artikel Berkaitan: